'Dia nampak letih ketika show' - Jaafar Onn terkejut Rohana Jalil kritikal di ICU

Faida Rahim
April 19, 2023 12:07 MYT
Jaafar Onn memberitahu dia terkejut melihat perubahan pada Rohana memandangkan jarang berjumpa kecuali di acara persembahan.- Astro AWANI/Facebook/Jaafar Onn
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil kini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bagaimanapun penyakit atau punca beliau dimasukkan ke hospital itu sejak semalam belum didedahkan.
Dalam pada itu, rakannya iaitu pelakon dan pelawak Jaafar Onn ketika dihubungi Astro AWANI, berkata dia terkejut ketika menerima berita mengenai Rohana.
“Kali terakhir saya jumpa Rohana pada Ahad lalu ketika buat persembahan di Plaza Shah Alam. Kami ada duet bersama. Masa menyanyi lagu pertama dia nampak steady lagi, bila masuk lagu kedua dia nampak letih.
“Saya ada pesan dengan dia kalau tidak sihat, tak apa… duduk rumah dan berehat sahaja. Tetapi Rohana yang saya kenal memang komited untuk buat persembahan. Dia pasti datang kalau ada jemputan menyanyi,” katanya.
Dalam masa sama, Jaafar Onn memberitahu dia terkejut melihat perubahan pada Rohana memandangkan jarang berjumpa kecuali di acara persembahan.
“Dia nampak kurus sangat baru-baru ini. Saya pesan juga kalau diet, berpada-pada. Makan perlu juga dan ambil makanan yang seimbang.
“Umur macam ni, makan memang kena jaga. Tapi tak boleh sampai tak makan. Makan itu perlu tapi berpada-pada kuantitinya,” katanya.
Untuk info, Rohana dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.
Rohana pernah muncul dengan album Rintik-Rintik Hujan, Masih Dalam Ingatan dan Rayuanku.
#Rohana Jalil #masuk hospital #ICU #Jaafar Onn
;