'Di Matamu' selamatkan Zamani, iringi lima peserta lain ke final GV5
Madiha Abdullah
November 11, 2018 23:50 MYT
November 11, 2018 23:50 MYT
Lagu Di Matamu dendangan asal Suffian Suhaimi, berjaya menyelamatkan Zamani daripada tersingkir di konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima.
Biarpun gagal menyampaikan lagu pertama, Dekat Padamu, dengan baik, tuah nampaknya masih menyebelahi Zamani apabila markah yang diberikan juri profesional untuk lagu kedua mencukupi untuk dia layak ke peringkat akhir.
Zamani, antara peserta 'favourite' musim ini, berjaya menyampaikan lagu kedua, Di Matamu, dengan sangat baik, dan disifatkan sebagai menepati 'standard' sebenar penyanyi itu.
"Awak sepatutnya menyanyi seperti ini dari minggu pertama. Awak menjadikan lagu ini lagu awak," kata ketua juri, Datuk Ramli MS.
Lima finalis lain yang turut mara adalah Noryn Aziz, Amelina, Billy Zulkarnain, Maya dan Dia Fadila.
Nasib kurang baik apabila dua lagi peserta, Hetty Sarlene dan Forteen, tersingkir.
Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri.
Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 bagi tempat ketiga.
Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
GV5 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
#Amelina
#Billy Zulkarnain
#Di Matamu
#Dia Fadila
#finalis
#Gegar Vaganza 5
#konsert
#maya
#Noryn Aziz
#Ramli MS
#Zamani