Derma sebelah buah pinggang untuk suami, Dayangku Intan ada sebab tersendiri

Madiha Abdullah
September 30, 2018 18:19 MYT
Dayangku Intan dan suaminya selamat menjalani pembedahan pada Sabtu. - Instagram @kit_entertainment
Penyanyi Dayangku Intan tidak menganggap kesediaannya mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada suaminya, Rosman Yahil, sebagai satu pengorbanan.
Sebaliknya, dia melihat ia sebagai satu tanggungjawab, seperti mana suaminya itu juga menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang 34 tahun usia perkahwinan mereka.
"Orang cakap saya berkorban, tetapi saya tidak rasa begitu. Suami juga banyak berkorban untuk saya, anak-anak dan rumahtangga kami selama ini.
"Sepanjang perkahwinan, saya bahagia dengannya dan anak-anak kami. Allah beri kita dua buah pinggang tapi kita boleh hidup dengan satu, jadi tak ada salahnya saya berikan satu kepada suami," katanya ketika ditemui sehari sebelum pembedahan.
Dayangku Intan yang dimaklumkan tentang keadaan kesihatan suaminya itu empat bulan lalu, menyeru mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah buah pinggang, agar tidak teragak-agak untuk mendermakan buah pinggang.
"Nak tunggu dapat buah pinggang daripada penderma lain yang telah meninggal dunia, mungkin sukar. Jadi kalau buah pinggang anda bersesuaian, jangan teragak-agak untuk lakukannya," tambahnya.
Dia juga mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang mahu membantu meringankan beban kos pembedahan dan perubatan yang sememangnya tinggi.
Pasangan itu selamat menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, pada Sabtu.
Menurut pengurusnya, Rushuhaimin Ab Rahman, pembedahan mengambil masa tiga jam untuk Intan dan kira-kira lima jam membabitkan Rosman.
"Rosman masih ditempatkan di ICU untuk pemantauan, manakala Intan sudah dipindahkan ke wad biasa.
"Mereka juga mengirim salam dan ucapan terima kasih atas doa semua," katanya.
#buah pinggang #Dayangku Intan #keluarga #kesihatan #penyakit #perkahwinan #perubatan #suami
;