Dengan sekali lafaz, Ippo Hafiz selamat bergelar suami kepada Fara Roslan
Ogos 25, 2019 09:00 MYT
PENYANYI, komposer dan penerbit, Ippo Hafiz selamat bergelar suami kepada Fara Roslan pada jam 9.22 malam Sabtu.
Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz, 30, selamat dinikahkan dengan Fara atau nama sebenarnya, Norfarahin Mohd Roslan, 31, dengan sekali lafaz di sebuah majlis indah yang diadakan di Impian Abadi, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pelantun lagu Kekal Bahagia itu menyerahkan mas kahwin berjumlah RM80, wang hantaran bernilai RM20,000 bersama tujuh dulang hantaran.
Sementara itu, pihak perempuan yang anggun mengenakan busana pernikahan rona biru cair pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.
Majlis yang diadakan dengan penuh sederhana tapi meriah dalam iringan hujan renyai itu diserikan dengan kehadiran keluarga kedua belah pihak, teman rapat serta rakan selebriti seperti Sissy Iman, Sarah Suhairi, Shahrizal Jaszle, Rohana Jalil dan ramai lagi.
Sebelum ini, Ippo dan Fara yang mula berkenalan ketika menjalani penggambaran muzik video Saat Bahagia itu menjalinkan ikatan pertunangan pada 10 Mac lalu.
Kredit foto: Aqo Imran, Kaki Foto, Kaki Tembak