Dendangan lagu 'Assalamualaikum Ustazah' oleh tentera laut AS jadi tular

Gempak
April 19, 2017 12:00 MYT
Video lagu nyanyian asal kumpulan Khalifah Band itu telah mendapat lebih 140,000 tontonan
SEPOTONG video yang menampilkan band tentera laut Amerika Syarikat menyanyikan lagu Assalamualaikum Ustazah di konti radio Cats FM Sarawak menjadi viral di Facebook.
Sejak dimuat naik minggu lepas, video lagu nyanyian asal kumpulan Khalifah Band itu telah mendapat lebih 140,000 tontonan dan mendapat lebih 4,000 perkongsian.
Video itu memaparkan korus lagu Assalamualaikum Ustazah yang dinyanyikan oleh band yang menggelarkan diri sebagai band Pipeline dari US Pacific Fleet.
Rata-rata netizen memuji kehandalan dan kepetahan band itu melantunkan lagu berbahasa Melayu dengan begitu berkesan.
Malah, nyanyian mereka mendapat reaksi positif daripada kumpulan Khalifah.
Band rock itu dianggotai oleh Brent Mitchell (vokalis), Ray Lappoon, Trans Stanley, Mike DeLorean dan Paul Tomson.
Band itu hadir ke Malaysia sempena program Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17) anjuran Kementerian Pertahanan hari ini.
Dalam acara itu, Pipeline Band akan mengadakan konsert khas melibatkan kerjasama Perpustakaan Negeri Sarawak (Pustaka), Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kementerian Pertahanan bermula pada pukul 6 petang nanti.
Sebanyak 40 lagu akan dipersembahkan antaranya medley Bruno Mars, Sunday Morning, Brown Eyed Girl, Love Yourself, Rude, Chicken Fried, Assalamualaikum, Letusan dan Island In The Sun.
#Amerika Syarikat #AS #Assalamualaikum Ustazah #Khalifah Band #Melayu
;