Demi peminat, Aina Abdul rela berhabis RM400,000 untuk busana konsert mega

Asyraf Roslan
November 19, 2023 12:00 MYT
Busana rekaan Zaimi Zulkafli yang menjadi tumpuan netizen semasa konsert A Night With Aina Abdul 3.0. -Astro AWANI
TIGA jam yang sangat memuaskan.
Itu sahaja yang boleh digambarkan selepas selesai menonton konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA 3.0) yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu.
Meskipun ada sedikit masalah teknikal namun ia langsung tidak menganggu pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani ini untuk memberikan persembahan yang penuh bertenaga dan terbaik buat peminat-peminatnya.
Siri konsert yang ketiga yang diadakan dengan skala lebih besar ini menyaksikan Aina membawa peminatnya menyelusuri setiap sisi hidupnya sepanjang bergelar anak seni.
“Untuk malam ini lagu dan segmen yang ada itu bertemakan sisi Aina Abdul, dia ada Aina Abdul yang lincah, yang galau, yang tradisional, K-drama punya vibe.
“Saya juga nak berterima kasih kepada peminat-peminat saya yang hadir memberi semangat sepanjang konsert berjalan untuk menghidupkan konsert pada malam ini,” katanya kepada media.
Pada masa sama, konsert yang menelan belanja hampir RM1.7 juta itu juga menyaksikan Aina hadir dengan busana-busana unik yang cantik.
Menurut pelantun lagu Sedia Terluka itu, bagi menjayakan ANWAA 3.0, dia telah menghabiskan sebanyak RM400,000 hanya untuk tampil menawan di hadapan penonton yang hadir pada malam tersebut.
Value semua baju kali ini, kita ada lima baju kali ini kesemuanya, jumlahnya adalah hampir RM400,000 untuk baju sahaja.
"Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
"Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung.
"Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan kru perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang," ujarnya.
Aina memperagakan lima busana yang mendapat sentuhan magis pereka fesyen tempatan iaitu Ezuwan Ismail, Melinda Looi, Zaimi Zulkafli dan Rizman Ruzaini.
Sepanjang konsert berlangsung, Aina telah diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew.
BACA: Tidak semestinya perlu ada album penuh untuk buat konsert solo - Aina Abdul
Turut sama meraikan malam gemilang Aina adalah individu yang pernah bekerjasama dengannya iaitu Khai Bahar dan Lah Ahmad menerusi Nafas Cinta dan Tunggu Kamu.
Selain Khai Bahar dan Lah Ahmad, Aina juga turut berduet bersama Haziq Rosebi dalam segmen tribute buat Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Aina menyanyikan lebih kurang 34 buah lagu antaranya Kelip-kelip, Sumpah, Maybe, Semalam, Terus Hidup dan Bilang yang merupakan salah satu lagu dalam album terbaharunya Imaji.
Konsert ANWAA 3.0 itu dihadiri lebih kurang 9,000 penonton dari seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
Antara rakan artis yang hadir ke ANWAA 3.0 adalah Ajai, Datuk AC Mizal, Rozita Che Wan, serta Ziana Zain.
Hasil jualan tiket konsert ANWAA 3.0 akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan rakyat Palestin yang terkesan di Gaza menerusi kerjasama dengan Yayasan Prihatin Nasional.
#Aina Abdul #A Night With Aina Abdul 3 0 #konsert #ANWAA 3
;