Demi kesihatan mental, Tom Holland undur diri dari media sosial

Agensi
Ogos 16, 2022 12:01 MYT
Dalam klip tiga minit itu, Holland memaklumkan dia telah memadamkan Instagram dan Twitter daripada telefon pintarnya. - REUTERS/Mario Anzuoni
BINTANG Spider-Man, Tom Holland mengambil keputusan berundur dari media sosial, dengan menyifatkan ia "memudaratkan" kesihatan mentalnya.
Pelakon berusia 26 tahun itu membuat pengumuman tersebut dalam video pendek yang dimuat naik ke Instagram, Ahad lalu.
Sebelum kemas kini terbaharu itu, kali terakhir Holland mengemas kini Instagram ialah enam minggu lalu adalah untuk mempromosikan organisasi amalnya, The Brothers Trust.
Dalam klip tiga minit itu, Holland memaklumkan dia telah memadamkan Instagram dan Twitter daripada telefon pintarnya.
"Saya mahu berehat dari media sosial demi kesihatan mental kerana saya mendapati Instagram dan Twitter mencelarukan minda.
"Saya terperangkap dan terkeliru apabila saya membaca perkara tentang diri saya dalam talian dan akhirnya ia memudaratkan keadaan mental saya.
"Kerana itu saya memutuskan untuk berundur dan memadamkan aplikasi-aplikasi itu," katanya.
Holland seterusnya bercerita tentang kerja amal yang dilakukan Stem4, sebuah badan amal kesihatan mental remaja yang berpangkalan di United Kingdom, yang menerima sokongan dan kerjasama The Brothers Trust.
"Terdapat stigma buruk terhadap kesihatan mental dan walaupun saya tahu mendapatkan bantuan bukanlah sesuatu yang memalukan, tetapi ia lebih mudah diucapkan daripada dilakukan," tambahnya.
Holland mengakhiri video itu dengan ucapan terima kasih kepada peminatnya atas kasih sayang dan sokongan mereka.
"Saya sayang anda semua dan kita akan bertemu lagi."
#Tom Holland #media sosial #kesihatan mental #Spider-Man
;