Demam 'Suamiku Encik Perfect 10' terus merebak!
Gempak
Februari 1, 2015 20:57 MYT
Februari 1, 2015 20:57 MYT
Walaupun setelah 10 hari filem Suamiku Encik Perfect 10 (SEP 10) ditayangkan di pawagam, nampaknya demam penonton masih belum kebah, malah semakin merebak!
Kutipan tiket bagi filem arahan Feroz Khan ini telah mencecah RM1.5 juta sepanjang seminggu tayangannya.
Selain kutipan tiket yang sangat memberangsangkan, filem tersebut turut mendapat pujian ramai penontonnya di laman sosial.
Hashtag #Suamikuencikperfect10, #SEP10 dilimpahi dengan pujian penonton yang sudah menonton filem itu selain peminat-peminat filem Melayu yang teruja untuk pergi menonton.
Lebih mengejutkan ada di antara penonton yang sanggup duduk di barisan hadapan semata-mata untuk melihat gandingan hebat Aaron Aziz, Lisa Surihani, Raja Illya, Shazwan Zulkifli dan Jasmin Hamid!
Filem ini menceritakan tentang pertemuan yang tidak terduga sewaktu penerbangan dari Heathrow, London ke KLIA, Sepang di antara Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) dan Zarief Danial (Aaron Aziz) yang terpaksa berlakon sebagai pasangan suami isteri.
Lakonan selama seminggu itu demi menyelamatkan Aleeya untuk berdepan dengan ibunya.
Tapi siapa sangka di sebalik lakonan itu terputik pula perasaan lain di antara mereka. Perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata dan kadang kala membuatkan masing-masing keliru.