Definisi sebenar Rock 'n Roll

Opie Sofia
Jun 12, 2022 11:00 MYT
Suara Denden Gonjalez (tengah) secara organiknya pergi melantun daripada lagu ke lagu dengan jelas dan bertenaga. - Astro AWANI/Shahir Omar
KONSERT Search Rockin’ On Rooftop baru sahaja berlangsung dan tanyakan sahaja kepada mata dan telinga yang datang menyaksikan, mereka pulang dengan kepuasan.
Walau terpaksa menunggu dalam hujan dan sedikit keterlewatan memulakan acara ekoran cuaca, namun sekitar hampir 4,000 penonton tidak menunjukkan aksi kurang senang.
Semuanya tenang dan menunggu dengan debaran untuk menyaksikan konsert outdoor pertama selepas pandemik itu.
Wajah-wajah yang muncul di dataran bumbung Campbell itu adalah wajah yang rata-rata dulu menyokong perjuangan Search dengan siri konsert mereka.
Wajah yang boleh anda lihat di Pasar Seni, Campbell atau kedai-kedai muzik untuk membeli CD waima kaset Search. Peminat yang meletakkan bandana di hujung poket seperti Kid atau Din.
Mereka yang hadir ini nyata bukan hanya tahu Search itu lagu Fantasia Bulan Madu atau Gadisku tetapi peminat padu yang tahu Emannuelle atau Bencana itu berada di album ke berapa, trek ke berapa, yang tahu lagu hasil tulisan Din dan segala yang terperinci tentang Search.
Menampilkan Denden selaku vokalis, suara jejaka asal Bandung ini cukup padu dan mengesankan.
Vokalnya pergi straight, tanpa lenggok namun tidak terkucil mahupun mengecewakan. Kurang berkomunikasi namun boleh diperbaiki, Denden mencuri perhatian penonton dari awal lagu hinggalah ke penghujung konsert.
Tanpa perlu bantuan tambahan dua penyanyi latar yang turut hebat malam itu, suara Denden secara organiknya ‘pergi’ melantun daripada lagu ke lagu dengan jelas dan bertenaga.
Pujian dan tepukan perlu diberikan kepada Denden yang muncul di khalayak yang rata-rata semuanya pecinta Search, seperti dirinya. Pentas pertama Denden sudah lulus dan dia boleh terus lanjut!
Kid dan Din, selaku jentera kuat Search memukau khalayak yang rindukan kebersamaan adik beradik ini yang digelar King of Rhythm dan King of Tremolo ini.
Jarang-jarang sekali mendengar Kid berceloteh di atas pentas namun kali ini dia dalam seloka memberi penegasan bahawa konsert malam tersebut merupakan konsert untuk mereka dan peminat menikmati pengalaman bersama.
“Bukan sebab bla bla bla,” kata pemegang nama Hamzah Taib ini. Bercanda dalam, kata orang.
Dari satu lagu ke satu lagi, Kid dan Din dengan kesepaduan Yan selaku bassist, Min selaku pemain dram dan Firdaus yang merupakan pemain keyboard, memberikan kepuasan maksimum kepada penonton.
Pemilihan lagu juga dianggap kental dan padu oleh peminat tegar yang datang. Ini juga pastinya dengan kerja keras dan kecintaan kental para krew teknikal Search yang senantiasa setia dengan barisan Search ini.
Peminat kental Search nampak kelibat sibuk dan berjaga-jaga Robin, Mie, Mael, Bob Ubi dan lain-lainnya bertungkus lumus menjaga pergerakan Search di atas pentas.
‘Anak-anak’ jantan ini tanpa berceloteh panjang memberikan semangat dan kecintaan mereka di atas nama Search dalam setiap permainan mereka. Itu jelas di wajah mereka sewaktu beraksi di atas pentas.
Muzik selalu berjalan seiring bersama fesyen, gaya mereka di atas pentas juga gaya anak jantan rock, tanpa sentuhan feminism atau metroseksual dan tampil minimalis, gaya Kid dan Din sering ditunggu-tunggu mat-mat rock sebenar.
Search memberikan pendengar setia mereka dengan lagu-lagu seperti Bencana, Metropolitan, Pasti, Purnama, Melastik ke Bintang, Di Pintu Sepi hinggalah ke Fantasia Bulan Madu, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Teguh.
Tampil bersama Ella menerusi lagu Melayar Bahtera dan Bayangan, paduan ini memberikan keteguhan lagi kepada makna rock sebenar.
Kemunculan rakan-rakan industri berdiri di depan panggung memberikan semangat buat Search membuktikan bahawa ini menyokong perjalanan konsert ini.
Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Tam Spider, Andy Flop Poppy, Ezad Exist, Along Exists, Addy Craddle, Neves Pretty Ugly, Bob Pilgrims dan tidak lupa barisan pemuzik seperti Ritz Metalasia, Paang Zaman, Hassan Babylon, Mie Apache dan Rozario Rasul hadir bersama membanjiri ribuan penonton malam tersebut.
Rata-rata hadir dengan semangat dan sokongan tersendiri terhadap Search tanpa perlu dipaksa-paksa atau dipinta.
Kudos dan tepukan syabas turut ditujukan kepada pasukan TSL Sound and Lighting dan Man Raja atas persembahan mantap bunyi dan pencahayaan.
Bakat anak-anak muda seperti Kuzai, Tom dan pasukan di barisan penjaga bunyi perlu diberi perhatian ramai dan bukti anak-anak buatan Malaysia ini semakin hebat.
Melihatkan Kid dan Din berpelukan selepas konsert membuatkan hati sayu diselang bangga. Mereka benar-benar memberikan makna kepada konotasi perjuangan serta Rock 'n Roll.
Mereka ini bersungguh meneruskan semangat dan nama Search dalam pembuluh darah mereka. Bak kata seorang teman yang menghadiri konsert yang juga seorang wartawan, Irwan berkata, “maka benarlah bunyi Search itu terletak pada Din dan Kid”, dan ramai yang mempersetujuinya.
Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang dibawakan oleh Search Rock Station memberikan definisi sebenar maksud Rock 'n Roll itu sendiri.
Penonton puas dengan sistem bunyi, permainan anggota Search dan vokal Denden. Mereka tidak perlu diberikan jumlah bintang atas persembahan konsert ini kerana merekalah bintang rock sebenar!

* Opie Sofia merupakan penulis hiburan, perunding perhubungan awam, bersahabat dengan ramai karyawan seni tanah air dan kini bertugas sebagai pegawai perantara penerbitan drama bersama stesen televisyen Astro.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#search #konsert #Rockin' On Rooftop #Search Rock Station
;