Debut solo Lisa Blackpink 'Lalisa' pecah dua rekod Guinness

Astro Awani
Oktober 11, 2021 11:30 MYT
Lisa Blackpink pecah dua rekod dunia Guinness melalui penampilan solo sulungnya berjudul "Lalisa". -Gambar fail
ANGGOTA kumpulan K-pop terkenal Blackpink, Lisa dilapor telah memecahkan dua rekod dunia Guinness melalui penampilan solo sulungnya berjudul "Lalisa".
"Lalisa" yang dilancarkan pada 10 September memecahkan rekod dunia untuk "video muzik YouTube oleh artis solo paling banyak ditonton dalam 24 jam", lapor Straits Times.
Dengan 73.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam pertama, "Lalisa" memecahkan rekod terdahulu sebanyak 65.2 juta tontonan oleh bintang pop Taylor Swift melalui "Me!" pada tahun 2019.
Lalisa juga mencipta rekod baharu untuk "video muzik YouTube paling banyak ditonton dalam 24 jam oleh artis solo K-pop".
Pencapaian beliau mengatasi debut solo rakan kumpulannya sendiri, Rose melalui "On The Ground" yang dilancarkan pada 12 Mac dengan rekod 41.6 juta tontonan dalam 24 jam.
Lisa, 24, adalah anggota ketiga daripada kuartet Blackpink yang tampil menjayakan projek solo.
Beliau dipuji oleh perdana menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha kerana mempromosikan budaya Thailand dalam video muzik "Lalisa" bulan lalu.
Kumpulan Blackpink pernah memegang rekod dunia Guinness termasuk untuk "video YouTube paling banyak ditonton dalam 24 jam" dan "video muzik paling banyak ditonton dalam 24 jam".
Walau bagaimanapun, rekod mereka dipecahkan oleh single terkenal kumpulan K-pop BTS, "Dynamite" tahun lalu.
#BLACKPINK #Lisa #Lalisa #pecah rekod Guinness
;