Debaran Nabil Ahmad menanti 'baby' sulung
Hasimi Muhamad
Julai 18, 2021 18:15 MYT
Julai 18, 2021 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Siapa sangka idea untuk memaparkan babak lockdown dan virus menyerang dunia dalam filem Mat Bond Malaya seolah-olah menjadi realiti buat pengarah filem tersebut, Nabil Ahmad.
Filem sulung arahan pelakon dan pelawak terkenal itu selesai penggambaran seminggu sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.
Lebih menarik, pemenang Pengacara Hiburan terbaik Asian Academy Creative Awards itu berkata, skrip 'bayi pertamanya' itu ditulis hanya dalam tempoh seminggu.
Namun, keterujaaan Nabil untuk menayangkan buah tangannya itu, yang mengambil masa penggambaran selama 25 hari, diuji dengan pandemik COVID-19.
"Masa kita buat cerita itu, normallah ada dengar sikit-sikit (mengenai COVID-19) tetapi saya dalam zon menghasilkan filem. Jadi, saya tak berapa sedar sangat fasal COVID-19 sebab masa itu COVID-19 di Malaysia pun belum serius dan belum PKP.
"Kami buat cerita pula memang berkenaan virus, memang (dalam jalan cerita) negara jadi lockdown dan (keadaan) kucar-kacir... Tetapi tiba-tiba seminggu lebih selepas kami habis penggambaran, tiba-tiba lockdown.
"Mula-mula sekali saya bersyukur, Ya Allah sebab kita berjaya habiskan sebelum lockdown. Masa itu, saya dapat berita beberapa set penggambaran filem ataupun drama, semua kena tunda. Jadi, di situ sebagai produser memang pening, nak kena uruskan perkara ini," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Sedia tanggung rugi
Melihat situasi semasa, anak seni kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu berkata, dia reda sekiranya terpaksa menanggung kerugian pembikinan filem yang menelan kos hampir RM1 juta.
Lebih setahun menunggu, Nabil, 37, hanya mampu berserah kepada rezeki jika filem Mat Bond Malaya terpaksa menjadi 'koleksi peribadinya' sahaja.
"Saya fikir sampai tahap apa... cerita macam ini aku seoranglah yang tengok. Saya fikir cerita ini hanya akan jadi arkib kepada koleksi saya.
"Tetapi sekurang-kurangnya saya pernah buat filem. Saya ingat apabila sudah siap semuanya, saya nak simpan dan tunggu pada 2023 atau 2025 bila negara dah stabil dan panggung buka, baru kita nak cuba jual.
"Tetapi saya rasa ia macam lambat lagi. Tetapi tak sangka Allah SWT bagi sinar harapan dengan Astro First, sebab saya rasa saya dah melingkup kalau saya tunggu lima atau enam tahun lagi untuk filem ini," seloroh bekas pemenang program realiti, Raja Lawak itu.
Ditanya mengenai cabaran mengarahkan filem pertamanya itu, Nabil berkata perkara yang paling mendebarkan adalah apabila dia perlu mengarah sutradara tersohor, yang turut menjadi pelakon dalam Mat Bond Malaya.
Nama-nama besar tersebut termasuk Datuk Yusof Haslam; Ghaz Abu Bakar; Aziz M. Osman; Michael Ang serta Mamat Khalid.
"Jadi, bila mereka datang, bayangkan kita tak pernah (mengarah filem) sebelum ini hanya telefilem dan program televisyen, tetapi apabila nak mengarah filem dan mereka, saya punyalah gementar.
"Sebab ini kerja mereka, kita sedang buat kerja pengarah dan kita berdepan dengan pengarah-pengarah yang hebat. Jadi, saya kena kawal, dan kena tunjuk yang kita mengawal situasi.
"Alhamdulillah, mereka sebenarnya macam bagi peluang kepada saya. Mereka macam, 'okay kita ikut sahaja apa yang kau nak'," tambah Nabil yang turut bersyukur kerana diberikan pasukan produksi yang terbaik.
Ganjaran buat pelakon, kru produksi
Tidak sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya bagi Nabil - rezeki perlu dikongsi bersama terutamanya ketika ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Berkongsi mengenai niat murninya itu, Nabil berkata dia pernah berjanji kepada para pelakon dan kru filem Mat Bond Malaya untuk memberikan ganjaran sekiranya kutipan tontonan naskhah berkenaan mencecah angka RM10 juta.
Bagi Nabil, ia bukan hanya sekadar janji tetapi lahir dari naluri kemanusiaan bagi meringankan beban kru-kru yang terjejas.
"Sebab saya memberikan janji ini ialah kita terkesan sebenarnya dengan lockdown ini. Kru tidak dapat bekerja dan ramai yang saya kenal sudah mula jual peralatan mereka kerana mahu meneruskan kehidupan.
"Nak teruskan hidup sampai ekonomi kita naik semula, bukan mudah. Makanan mungkin akan sampai di rumah mereka, tetapi ada yang sudah tidak bayar rumah tiga bulan... ada yang sudah tiada bekalan elektrik di rumah. Jadi, di sini kami cuba untuk mencapai target filem ini dan membantu semua kru ini," katanya lagi.
Salurkan bantuan
Selain membantu kru filem tersebut, Nabil berkata sekiranya mempunyai rezeki lebih dia turut berhasrat menyalurkan bantuan kepada kru-kru produksi lain yang terkesan ketika ini.
Mengenai perancangan masa depan pula, Nabil berkata, filem Mat Bond Malaya menjadi permulaan kepada hala tujunya selepas ini sebagai anak seni.
Ditanya adakah dia akan menumpukan sepenuhnya kepada bidang produksi, Nabil menjawab, dia berserah kepada rezeki dan peluang pada masa depan.
Katanya, generasi baharu juga perlu diberikan peluang dalam industri bagi mencari pelapis-pelapis baharu.
Filem Mat Bond Malaya menampilkan penyanyi Naqiu, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, serta Farid Halus sebagai teraju utama.
Untuk tahu kisah perjalanan ejen penyiasatan berdepan serangan virus zombie, jangan lupa janji temu anda
pada 20 Julai ini di saluran Astro First, 480.
#Mat Bond Malaya
#Filem pertama Nabil Ahmad
#Nabil pemenang pengacara Asia
#Nabil Ahmad Raja Lawak
#industri filem
#Astro First
#naqiu
#Elizabeth Tan
#berita hari ini
#hiburan Malaysia