Datuk Siti Nurhaliza pilih Khai Bahar

Sinar Harian
Mei 14, 2018 06:12 MYT
Menurut Siti, pemilihan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Luluh itu adalah kerana jenis dan kualiti vokal yang dimiliki Khai, selain popularitinya sebagai penyanyi ketika ini. - Foto Sinar Harian
PENYANYI terkenal, Datuk Siti Nurhaliza akhirnya mengumumkan Khai Bahar sebagai rakan duet untuk single terbaharunya, Cinta Syurga yang bakal dilancarkan Ramadan nanti.
Menurut Siti, pemilihan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Luluh itu adalah kerana jenis dan kualiti vokal yang dimiliki Khai, selain popularitinya sebagai penyanyi ketika ini.
"Saya pilih Khai kerana jenis dan kualiti vokalnya. Selain itu, kita turut menimbang faktor populariti dimiliki Khai selain kemampuannya mengalun zikir dengan baik," katanya kepada sebuah portal hiburan.
Mengulas lebih lanjut tentang single berkenaan, kata Siti, Cinta Syurga merupakan versi baharu single terdahulu, Comel Pipi Merah dan bentuk zikir.
Malah sepanjang rakaman single ini, Siti dan Khai turut dibantu anggota kumpulan nasyid Unic, Bazli yang menjaga vokal dan bertindak sebagai penyanyi latar untuk lagu ini.
"Kita ubah liriknya untuk disesuaikan mengikut konsep zikir. Single ini akan mula dipromosikan sempena Ramadan ini," kata Siti lagi.
Peminat boleh mendapatkan single terbarunya ini menerusi rangkaian platform digital selain muzik video liriknya yang akan dipromosikan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Siti baru sahaja melancarkan butik kelapan Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall pada Ahad lalu.
#Cinta Syurga #hiburan #Khai Bahar #penyanyi #Ramadan #Siti Nurhaliza #video
;