Datuk Seri Vida nafi jatuh miskin

Muhafandi Muhamad
Mei 6, 2019 15:50 MYT
Vida menafikan dia jatuh miskin setelah tidak membuat kemunculan dalam program TV. -Gambar fail
HAMPIR setahun jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida tidak membuat kemunculan dalam program TV, pelbagai spekulasi dikaitkan dengan dirinya.
Ada yang mendakwa Vida berdepan masalah kewangan selepas mata wang kripto LaVida Coin yang dilancarkannya berdepan masalah.
Vida bagaimanapun ketika ditemui Astro AWANI di Kota Bharu menafikan dia jatuh miskin.
"Astaghfirullah hal 'azim. Apabila tak keluar televisyen, cakap begitulah. Saya aktif di media sosial. Kalau nak berunding, tiada follower, siapa yang nak beli.
"Empat tahun asyik berebut mikrofon. Saya sekarang sedang tunggu kalau ada rancangan baharu. Bagilah rancangan apa nak taja, makan-makan ka," kata Vida.
Bahkan, katanya, perniagaan masih stabil dengan tumpuan kepada beberapa produk baharu termasuk makanan.
Beliau turut memaklumkan akan melancarkan single terbarunya selepas Aidilfitri.
Single yang bakal beliau lancarkan itu berkonsep cinta.
Vida berkata beliau masih mencari bentuk rancangan yang sesuai ditajanya selepas menaja rancangan berbentuk keagamaan baru-baru ini.
Vida menjelaskan perubahan zaman ketika ini memerlukan satu anjakan yang pantas dalam menyesuaikan diri dan produk supaya dapat kekal dalam persaingan perniagaan alaf baharu yang semakin mencabar.
#Datuk Seri Vida #Hasmiza Othman #jatuh miskin #jutawan kosmetik #lavida coin #mata wang kripto #single berkonsep cinta
;