Datuk Seri Vida lancar lagu raya

Sinar Harian
Jun 2, 2018 18:45 MYT
Vida kali ini tampil dengan sebuah lagu raya, "Lavida Raya" sempena sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan dua minggu lagi. -Gambar fail
SETELAH single pertamanya, I Am Me berjaya menarik perhatian ramai, jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida kembali dengan buah tangan terbaharunya.
Bagaimanapun, Vida kali ini tampil dengan sebuah lagu raya, "Lavida Raya" sempena sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan dua minggu lagi.
Lagu yang berentak rancak ini telahpun dilancarkan menerusi saluran YouTube semalam.
Menurut Vida, meskipun kos pembikinan muzik video untuk single kali ni tidak semahal single pertamanya, namun ia sangat istimewa kerana ia dirakamkan di rumahnya sendiri dengan penglibatan anak-anak serta kenalannya.
“Saya memilih genre yang lebih ‘catchy‘ supaya lagu ini akan menceriakan suasana Hati raya semua peminat saya di seluruh negara dan semua peminat serta orang ramai boleh menari bersama selepas melihat muzik video lagu itu.
“Pembikinan muzik video itu dibuat di rumah saya sehari sebelum 1 Ramadan dan kebanyakan gaya tarian dalam muzik video itu adalah hasil idea Cik B (anak) dan saya sendiri,” katanya kepada sebuah portal hiburan.
Sempena pelancaran lagu raya ini juga, Vida juga berhasrat untuk memberikan duit raya dan barangan peribadinya sebagai buat peminat dan pengikut setianya.
Berikutan itu Vida mengadakan cabaran Lavida Raya, di mana setiap mereka yang menyertainya perlu berkongsi muzik video single tersebut dengan #lavidaraya di akaun media sosial masing-masing.
Pemenang akan dipilih berdasarkan komen terbaik yang disertakan pada penyertaan tersebut.
“Saya akan memberikan hadiah RM100 serta barangan peribadi saya seperti kasut, beg tangan dan pakaian setiap hari selama seminggu kepada peminat-peminat saya,” katanya.
Lavida Raya merupakan lagu ciptaan Cat Farish dan lirik tulisan Mohd Hilmi. Difahamkan sehingga kini, muzik video tersebut sudah menerima lebih 112,000 tontonan.
#Aidilfitri #Datuk Seri Vida #I Am Me #Lavida Raya #Ramadan #YouTube
;