Datang dari Taiwan, pengarah filem The Garden of Evening Mists suka makan nasi kerabu

Gempak
Januari 23, 2020 01:27 MYT
Makanan yang menjadi kegemaran saya ialah hidangan nasi kerabu, kata Tom kepada Gempak. - Astro GEMPAK
PENGARAH filem The Garden of Evening Mists, Tom Shu Yu Lin memberitahu bahawa peluang mengarahkan naskhah tersebut memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buatnya.
Ini kerana, pengarah kelahiran Taiwan itu berkata, ia merupakan sebuah naskhah yang menuntutnya berada di Malaysia sepenuhnya sepanjang penggambaran.
Secara tidak langsung, katanya, dia mula suka dengan banyak perkara mengenai Malaysia yang disifatkan sebagai sebuah negara majmuk yang menarik untuk diterokai.
Antara yang mencuri perhatiannya termasuklah makanan tradisi masyarakat Kelantan.
"Apa yang saya suka mengenai Malaysia ialah kepelbagaian juadah makanan yang ada. Saya rasa semua orang pun akan bercakap pasal makanan di sini.
"Makanan yang menjadi kegemaran saya ialah hidangan nasi kerabu," kata Tom kepada Gempak.
Selain makanan, katanya, dia mula suka dengan cuaca di Malaysia yang memudahkan dirinya untuk memakai pakaian ringkas ketika melakukan aktiviti di luar.
"Di sini cuacanya panas. Walaupun perlu bekerja dibawah cahaya matahari, tetapi saya mula sukakannya kerana saya boleh keluar dengan memakai seluar pendek pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Tom menghabiskan masa selama 49 hari di tiga buah negeri bagi menjayakan filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan HBO Asia itu.
Filem The Garden of Evening Mists menampilkan pelakon tempatan Sinje Lee bergandingan dengan aktor Jepun Hiroshi Abe.
Ia merupakan sebuah karya yang memaparkan latar masa sewaktu zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Filem yang mendapat sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-56 itu sudah mula ditayangkan sejak 16 Januari lalu.
Justeru, bagi mereka yang belum menontonnya, jangan lupa saksikan filem The Garden of Evening Mists di pawagam berhampiran anda.
#filem #Instagram #Kelantan #Malaysia #nasi kerabu #pengarah #Taiwan #The Garden of Evening Mists #Tom Shu Yu Lin