Dari Lipis ke Istana Buckingham, lagu nyanyian Siti Nurhaliza antara pilihan Raja Charles III

Hasimi Muhamad
Mac 11, 2025 15:43 MYT
Lagu "Anta Permana" yang diluncurkan pada tahun 2018 membuat kemunculan pada minit ke-43 dalam 17 senarai lagu yang dipilih sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel. -Instagram CTDK/Apple
DARI Kuala Lipis ke Istana Buckingham - satu lagi sejarah besar dilakar oleh biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila lagu dendangan penyanyi tersohor itu tersenarai antara lagu kegemaran Raja Charles III.

Ringkasan AI
  • Lagu "Anta Permana" oleh Siti Nurhaliza tersenarai antara lagu kegemaran Raja Charles III dalam The Kings Music Room di Apple Music 1.
  • Lagu ini diluncurkan pada tahun 2018 dan menceritakan kisah tentang cinta yang lebih kuat daripada masa.
  • Siti Nurhaliza melahirkan rasa bersyukur atas penghargaan besar daripada Keluarga Diraja Britain.

Menerusi The King’s Music Room yang disiarkan oleh Apple Music 1, lagu "Anta Permana" hasil ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini berjaya 'mencuri hati' Raja Britain itu, sekali gus sebaris dengan lagu nyanyian penyanyi-penyanyi antarabangsa lain.
"Sesungguhnya karya seterusnya adalah daripada artis Malaysia yang luar biasa, Siti Nurhaliza. Ia bertajuk ‘Anta Permana’ dan ia menceritakan kisah tentang cinta yang lebih kuat daripada masa," titah Raja Charles.
Lagu "Anta Permana" yang diluncurkan pada tahun 2018 membuat kemunculan pada minit ke-43 dalam 17 senarai lagu yang dipilih sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.
Selain Siti Nurhaliza, antara artis antarabangsa lain yang berada dalam senarai itu ialah Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dalam kemas kini di laman Instagram melahirkan rasa bersyukur atas penghargaan besar daripada Keluarga Diraja Britain.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan The King’s Music Room yang dirakam di Istana Buckingham, menawarkan pandangan eksklusif baginda dengan muzik dari seluruh Komanwel termasuk disko, reggae dan Afrobeats.
Menurut kenyataan Apple, Raja Charles III turut berkongsi anekdot tentang pertemuannya dengan beberapa artis dan mendedahkan senarai lagu pilihannya, telah membentuk runut bunyi dalam kehidupan baginda.
Berikut senarai lagu dalam The King’s Music Room:
“Could You Be Loved” — Bob Marley & The Wailers
“My Boy Lollipop” — Millie Small
“The Loco-Motion” — Kylie Minogue
“The Very Thought of You” — Al Bowlly
“La Vie En Rose” — Grace Jones
“Love Me Again” — Raye
“Mpempem Do Me” — Daddy Lumba
“KANTE” — Davido featuring Fave
“The Click Song (Qongqothwane) — Miriam Makeba
“My Country Man” — Jools Holland and Ruby Turner
“Indian Summer” — Anoushka Shankar
“Anta Permana” — Siti Nurhaliza
“E Te Iwi E (Call to the People)” — Dame Kiri Te Kanawa
“Haven’t Met You Yet” — Michael Bublé
“Hot Hot Hot” — Arrow
“Crazy In Love” — Beyoncé featuring Jay-Z
“Upside Down” — Diana Ross
The King’s Music Room boleh didengari di Apple Music 1 bermula 10 Mac secara percuma.
#Raja Charles III #Siti Nurhaliza #Anta Permana #The King s Music Room
;