Daphne Iking gembira ceritakan sejarah, keunikan Pesta Kaamatan kepada keluarga, rakan

Astro Awani
Mei 31, 2022 17:50 MYT
Menurut Daphne, usaha perlu terus dilakukan untuk berkongsi keunikan sambutan itu kepada Keluarga Malaysia. - Facebook Daphne Iking
KUALA LUMPUR: Masih ramai rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Semenanjung tidak begitu mengetahui sejarah, makna dan keunikan Pesta Kaamatan yang disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun.
Meskipun ramai yang masih belum cakna mengenai sambutan itu, namun personaliti media yang juga ratu Unduk Ngadau 2003, Daphne Iking berkata, setiap kali ditanya berhubung perayaan itu, setiap kali itu jugalah dia akan gembira dan bersemangat menceritakannya kepada keluarga dan rakan-rakan.
Menurutnya, usaha perlu terus dilakukan untuk berkongsi keunikan sambutan itu kepada rakyat Malaysia dan bagi Daphne, dia memulakan usaha itu menerusi keluarganya terlebih dahulu.
Antara cara dilakukannya adalah dengan memakai baju tradisi suku Kadazan Dusun walaupun ketika Hari Raya Aidilfitri.
Bahkan, anaknya juga memakai baju tradisi ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri di sekolah baru-baru ini, bertepatan dengan tema daripada sekolah iaitu pakaian tradisi.
“Saya teringat satu masa kami buat potret Hari Raya. pada waktu itu, saya putuskan untuk pakai baju Kadazan, suami pakai baju Melayu, anak perempuan pakai Cheongsam dan itu menjadi potret yang sangat cantik.
“Masa itu juga ramai komen, kata ya lah, betul juga, tak semestinya mereka ini Muslim, kena pakai baju Melayu. Dari situlah kita wujudkan kesedaran, kita patut biasakan bukan hanya satu tradisi kostum, satu saja bahasa.
“Macam sekarang, saya buat rancangan memasak dengan orang Sabah di Semenanjung yang datang dari pelbagai negeri.
“Kita akan buat masakan dan akan tunjuk makanan tradisi kita. Benda-benda macam ini adalah satu contoh untuk kita boleh wujudkan kesedaran terhadap budaya kita,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Tambah Daphne, dua tahun tiada sambutan akibat pandemik, tahun ini ia diraikan dengan sangat meriah.
“Saya dapat ‘update’ dari keluarga saya di Sabah, sambutan pada tahun ini memang sangat meriah,” ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua yang meraikan perayaan itu di Sabah.
Istana Negara menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi menyatakan Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar perayaan yang bermakna kepada masyarakat Kadazandusun itu akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum dan memperkukuhkan perpaduan di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sempat merakamkan ucapan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada ahli Keluarga Malaysia yang meraikannya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ismail Sabri berkata keharmonian Malaysia dengan kepelbagaian kaum dan budaya menyambut perayaan kaum etnik dalam sebuah negara yang sejahtera.
#Pesta Kaamatan #Daphne Iking #Kadazan Dusun #sambutan
;