Dapat berita 'Abang Bard' meninggal dunia, Siti terus tinggal sahabat sedang beraya di rumah

Gempak
Jun 17, 2019 11:11 MYT
Menerusi sebuah posting di Instagram(IG)nya, Siti telah meluahkan rasa sedih sebaik mendapat tahu Abang Bard sudah tiada. - Foto Instagram
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meninggalkan sahabat-sahabat sedang berhari raya di rumah, sebaik mendapat perkhabaran duka mengenai bekas Pegawai Perhubungan Awam beliau, Bahanordin Deraman.
Allahyarham yang lebih mesra dipanggil ‘Abang Bard’ meninggal dunia pada pukul 8.30 malam tadi tadi akibat komplikasi kencing manis.
Menerusi sebuah posting di Instagram(IG)nya, Siti telah meluahkan rasa sedih sebaik mendapat tahu ‘Abang Bard’ sudah tiada.
“Sebaik mendapat perkhabaran mengenai pemergian Abang Bard (panggilan kepada arwah), sewaktu sahabat-sahabat saya masih beraya di rumah, saya putuskan untuk segera menziarah jenazah arwah.
“Sosok yang dikenali sejak tahun 1996 sehinggalah ke hari ini (walaupun jarang bertemu tetapi sesekali bermesej, menelefon dan meninggalkan komen di Facebook).
“Ada banyak cerita dan kenangan yang kami lalui, pengalaman arwah menjadi PR di Suria Records dan menguruskan kerjaya @ctdk sedari awal dan dari situlah kami bersahabat sehingga kini.
“Malam tadi, abang Bard menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya menziarah jenazah arwah, bertanya khabar anak-anaknya dan kebanyakan yang hadir adalah rakan-rakan seperjuangan PR, pengurus, PA artis dari pelbagai label ataupun persendirian.
“Semoga arwah tergolong dalam kalangan orang yang beriman, Allah mengangkat darjatnya, menyantuninya, mengampuni segala dosa-dosanya.
“Al-Fatihah. Selamat jalan abang Bard,” tulis beliau.
BACA: Siti Nurhaliza sebak kenang pemergian 'Abang Bard'
Allahyarham yang meninggal di usia 53 tahun pernah menguruskan beberapa artis popular lain antaranya Datuk Seri Rossa ketika hadir di Malaysia.
‘Abang Bard’ berkhidmat sebagai PRO di syarikat rakaman tempatan SRC dan turut membantu menguruskan kerjaya beberapa artis ternama lain seperti Liza Hanim, Tomok, kumpulan 2 By 2 dan ramai lagi.
Arwah ‘Abang Bard’ meninggalkan dua orang anak Nur’ Ain Batrisya, 15 tahun dan Rizki Langit Ramadan, 12 tahun.
Jenazah akan dibawa ke Masjid As Sobirin, Lembah Keramat pada pukul 9 pagi (Isnin) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Taman Permata selepas Zuhur.
#Abang Bard #bekas PRO #Facebook #Instagram #Malaysia #meninggal dunia #Ramadan #Siti Nurhaliza
;