Daniel Craig ucap 'selamat tinggal Bond' pada tayangan perdana 'No Time to Die'
Astro Awani
September 29, 2021 08:57 MYT
September 29, 2021 08:57 MYT
SELEPAS tertangguh lima kali selain pandemik yang melumpuhkan industri, filem James Bond ke-25 "No Time to Die" akhirnya diraikan dalam acara penuh gemilang pada Selasa.
Filem terakhir 007 lakonan Daniel Craig ini antara yang terawal terkena tempias akibat pandemik COVID-19 tahun lepas.
Selain itu, ia turut mengharungi pelbagai krisis antaranya pertukaran pengarah, penulisan semula, beberapa kelewatan.
Namun, di sebalik semua itu, tayangan perdana filem James Bond ke-25 akhirnya dilangsungkan di venue berprestij dunia Royal Albert Hall, lapor Hollywood Reporter.
Kali terakhir francais filem 007 diberi sambutan sama adalah sekitar enam tahun lalu untuk filem "Spectre".
"Cukup luar biasa," kata pelakon utama Daniel Craig di pentas permaidani merah untuk filem Bond terakhirnya ini.
"Saya benar-benar tak sangka kita akan sampai di sini, tetapi inilah saatnya. Saya tak sabar untuk meraikannya dengan semua orang. Saya cukup berbangga.
"Kami tidak hasilkannya untuk diri kami sendiri; kami hasilkannya agar orang ramai dapat menontonnya di pawagam.
"Dan kami akan menontonnya di layar perak malam ini, di mana filem Bond sewajarnya ditayangkan," kata Craig lagi.
Turut hadir pada majlis gilang-gemilang itu ialah Putera William, Kate Middleton, Putera Charles dan Camilla Parker-Bowles.
Tetamu pada tayangan perdana itu diwajibkan menunjukkan ujian COVID-19 yang negatif sebelum dibenar masuk.
Para tetamu juga "amat digalakkan" untuk memakai pelitup muka sepanjang masa, mengikut aturan pada jemputan rasmi.