Dana AS$30 juta diwujudkan bantu penerbit filem ASEAN - Salleh

Bernama
Mei 5, 2017 17:17 MYT
Manurut Salleh, enyedia dana berkenaan adalah dari AIFFA (Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN) 2017 Biz World. - Gambar fail
Beberapa pihak berganding bahu menyediakan dana berjumlah US$30 juta untuk membantu para penerbit filem ASEAN, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, penyedia dana berkenaan adalah dari AIFFA (Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN) 2017 Biz World.
Beliau berkata dengan wujudnya dana itu, keadaan kini tidak seperti suatu ketika dulu lagi apabila kebanyakan penerbit filem terpaksa pergi dari satu bank ke satu bank untuk mendapatkan dana.
"Proses ini sahaja boleh membunuh kreativiti mereka atau menyebabkan penulis dan pengarah terpaksa banyak beralah hingga ke tahap mereka sendiri tidak dapat mengenali lagi karya sendiri.
"Oleh itu, saya amat gembira apabila kemudahan (dana) tersebut diwujudkan hari ini pada AIFFA 2017, yang bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN. Ia mencerminkan kematangan dalam pertumbuhan serantau kita yang mana aspek kreativiti dalam kehidupan dianggap sama penting dengan pembangunan sosioekonomi," katanya ketika merasmikan AIFFA 2017 Biz World di sini hari ini.
Mengenai AIFFA Biz World, Salleh berkata ia merupakan perhimpunan para pakar dalam bidang perfileman dan diisi dengan pelbagai aktiviti perniagaan berkaitan filem.
"Terdapat ceramah, pembinaan rangkaian dan kolaborasi serta perkongsian pengalaman semasa proses penerbitan dan pameran. Paling penting, untuk julung kalinya, terdapat juga pembiaya," kata beliau.
Salleh juga menyuarakan harapan agar rakyat Malaysia dan penerbit filem dari negara anggota ASEAN akan memanfatkan AIFFA Biz World dengan berkesan.
"Perlu terdapat aliran kandungan yang berkualiti tinggi untuk memenuhi selera 600 juta pengguna dari 10 negara anggota ASEAN.
...dan dengan wujudnya media sosial, kandungan berkualiti akan dapat melangkaui sempadan ASEAN untuk sampai ke serata dunia dan menemui berbilion manusia lain,"katanya.
Salleh juga menyaksikan upacara menandatangani dua memorandum persefahaman iaiatu antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan penerbit filem, Guangdong, Juno Film serta Television Company Limited, China untuk menghasilkan sebuah filem yang sebahagian daripada penggambarannya akan dibuat di sini; dan satu lagi antara Southeast Asian Audio Visual Association (SAAVA) dan AIFFA berkaitan pembiayaan penerbitan filem.
-- BERNAMA
#ASEAN #dana asean #filem #pembuat filem #Salleh Said Keruak
;