Dakwaan selak 'skirt', pelakon Morgan Freeman tak mengaku tetapi minta maaf

Agensi
Mei 25, 2018 20:23 MYT
Morgan Freeman dilaporkan pernah beberapa kali cuba menyelak skirt seorang wanita ketika di set penggambaran - Foto REUTERS
PELAKON gred A Hollywood, Morgan Freeman memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah terasa hati dengan kelakuannya.
Permohonan maaf itu dibuat Freeman susulan laporan CNN mengenai pengakuan beberapa wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pelakon berusia 80 tahun itu di set penggambaran.
Freeman menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pegawai serantanya Stan Rosenfield memaklumkan dia tidak pernah berniat untuk mencetus rasa kurang senang kepada sesiapa.
“Sesiapa yang mengenali dan pernah bekerja bersama saya pasti tahu saya bukanlah seseorang yang dengan niat mencetus rasa tidak selesa.
“Saya juga meminta maaf kepada sesiapa yang terganggu akibat perbuatan saya,” jelas Freeman.
Dalam laporan CNN itu seorang wanita mengaku Freeman beberapa kali cuba menyelak skirtnya dan bertanya sama ada dia memakai seluar dalam.
Beberapa wanita lain mendakwa pemenang Anugerah Academy itu pernah bercakap mengenai tubuh mereka.
CNN menemubual 16 individu mengenai kelakuan jelek Freeman. Lapan daripadanya memaklumkan telah menjadi mangsa pelakon veteran itu sementara lapan lagi mengaku pernah menyaksikan perlakuan jelek Freeman.
#gangguan #Maaf #Morgan Freeman #seksual
;