Dakwaan palsu diserang dan dihambur ucapan anti gay, aktor Jussie Smollett dituduh lagi
Agensi
Mac 9, 2019 17:23 MYT
Mac 9, 2019 17:23 MYT
Aktor siri drama TV popular ‘Empire’ Jussie Smollett berhadapan 16 pendakwaan terbaharu selepas didakwa membuat laporan palsu kononnya diserang dan dihambur dengan kata-kata kesat anti 'gay' oleh dua lelaki bulan lalu.
Smollett yang berketurunan Afrika-Amerika dan secara terbuka mengaku seorang ‘gay’ sebelum ini didakwa atas kesalahan jenayah membuat laporan palsu oleh polis Illinois.
Lapan dakwaan terbaharu itu berkaitan soal-siasat dengan seorang anggota polis di hari dia mendakwa diserang, manakala lapan lagi dengan seorang lagi anggota polis di hari yang sama.
Untuk setiap kesalahan, Smollett berhadapan hukuman tiga tahun penjara dan denda AS$25,000.
Peguam Smollet, Mark Geragos, bagaimanapun mengecam pendakwaan itu dan menganggapnya “pendakwaan berulang dan berniat menghukum”.
Anak guamnya itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap semua tuduhan.
Minggu lalu seorang jurucakap polis Chicago mendedahkan Smollett telah membayar dua beradik AS$35,000 untuk merancang serangan dan penipuan itu.
Ia dipercayai bagi meningkatkan kembali kerjaya lakonan Smollett yang dikatakan hambar sejak akhir-akhir ini.
Pada 29 Januari lalu, Smollett mendakwa diserang dua lelaki tidak dikenali di Chicago.
Tidak hanya diserang secara fizikal, suspek turut didakwa melaungkan jeritan berbaur perkauman dan 'homofobik' (anti homoseksual) ke arah Smollet yang merupakan seorang gay.
Menurut jurucakap polis, Anthony Guglielmi, semasa kejadian, Smollet mendakwa sedang berjalan kaki berhampiran Chicago River sekitar jam 2 pagi sebelum didatangi suspek yang tiba-tiba menjerit ke arahnya.
Pelakon berusia 36 tahun itu kemudian dipukul pada bahagian muka sebelum melilit mangsa dengan tali pada leher.
Menurut Guglielmi, ketika ditemui oleh pihak berkuasa, kelihatan tali pada lehernya masih belum dibuka.
Namun hasil siasatan lanjut polis menerusi rakaman CCTV dan perbualan telefon, selain dua beradik warga Nigeria itu, mendapati wujud keraguan dalam laporan itu.
Polis kemudiaanya mengambil keputusan untuk mendakwa aktor itu.