Dakwaan cabul, lagu Michael Jackson kena gam
Asyraf Roslan
Mac 6, 2019 21:49 MYT
Mac 6, 2019 21:49 MYT
SELEPAS satu pendedahan sebuah dokumentari yang membongkar dakwaan mencabul kanak-kanak ke atas mendiang Michael Jackson, sebuah stesen radio utama di Quebec, Kanada telah berhenti dari memutar semua lagu mendiang Raja Pop itu.
Jurucakap kepada Cogeco yang mengendalikan 22 radio di seluruh Quebec dan sebuah stesen di Ontario berkata, keputusan itu dibuat selepas dokumentari Leaving Neverland disiarkan pada Ahad menerusi saluran HBO.
Memetik laporan media antarabangsa, dokumentari yang berdurasi selama empat jam itu, telah mendedahkan secara terperinci mengenai kisah dua lelaki yang mendakwa Jackson mendera mereka secara seksual ketika mereka masih kanak-kanak.
Wade Robson, 36, melaporkan kepada BBC, mendiang pernah menganggunya secara seksual semasa dia berusia tujuh tahun dan cuba untuk mencabulnya semasa dia berusia 14 tahun.
Seorang lagi mangsa, James Safechuck, 40, juga mengakui pernah diganggu semasa umurnya 10 sehingga 14 tahun.
Menurut wakil Cogeco, Chrisne Dicaire, pihak mereka sangat prihatin dengan pendengar mereka dan akan meneliti sebaiknya untuk memberhentikan dari memutar lagu penyanyi tersebut buat sementara.
“Kami sangat prihatin terhadap komen pendengar kami, dan dokumnetari disiarkan pada malam Ahad lalu telah mencetuskan banyak reaksi,” katanya.
Tuduhan seksual itu kembai timbul hampir sedekad selepas Raja Pop itu meninggal dunia kerana dakwaan salah guna dadah pada 2009.
#dakwaan mencabul kanak-kanak
#James Safechuck
#Leaving Neverland
#meninggal dunia
#Michael Jackson
#Raja Pop
#Tuduhan Seksual
#Wade Robson