Dakwaan besan diusir dari Malaysia, Krisdayanti nasihat Atta Halilintar bertenang

Astro Awani
Jun 10, 2021 19:16 MYT
Krisdayanti (tengah) menasihatkan anaknya, Aurel Hermansyah (kanan) dan menantunya, Atta Halilintar agar tenang dan bersabar hadapi segala dakwaan tidak berasas. - Gambar Instagram KRISDAYANTI
JAKARTA: Penyanyi ternama Indonesia, Krisdayanti mengambil sikap bertenang apabila mendengar laporan besannya yang didakwa telah diusir keluar dari Malaysia hanya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi penyanyi lagu Menghitung Hari itu, dakwaan itu sangat samar dan tidak disahkan oleh pihak berwajib.
“Sepertinya laporan itu tidak benar. Yang membuat dakwaan juga sudah minta maaf, jadi tidak perlu pantas melatah.
“Sebagai anak, sudah tentu ada kewajaran buat Atta membela ibu dan ayahnya. Cuma paling penting, kita harus lihat kedudukan sebenar situasi itu,” kata Krisdayanti.
Dalam masa sama, Krisdayanti yang kini memikul tugas sebagai Ahli Parlimen Indonesia juga sedia maklum Malaysia sedang melaksanakan PKP ekoran peningkatan kes COVID-19, justeru sebarang berita harus mendapat pengesahan daripada pihak berwajib.
“Kita semua tahu Malaysia sedang lockdown, jadi tidak tahu kebenaran berita itu. Jangan mudah jatuhkan hukuman, jangan mudah buruk sangka. Kita harus bijak memilih berita,” nasihat Krisdayanti lagi.
Dan sebagai orang tua yang berpengalaman luas dalam dunia hiburan dan lingkungan media, Krisdayanti sering berpesan pada anak dan menantunya sentiasa sabar dan sentiasa positif dalam menghadapi ujian dan cabaran.
Apa lagi, kata Krisdayanti, dakwaan sedemikian dibuat oleh netizen.
"Saya selalu pesan pada Aurel dan Atta agar bersabar. Tidak manis untuk diulas hal ini kerana akan lebih mendapat liputan. Jadi, baik dibiarkan reda dan pandang positif,” tegasnya lagi.
Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila ada netizen yang mendakwa keluarga Atta yang menetap di Malaysia telah diminta meninggalkan negara ini kerana tidak mematuhi SOP.
Antara tuduhan yang dibuat ialah keluarga Atta beramai-ramai bebas keluar masuk ke pusat beli-belah tanpa mengikut SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.
Bahkan, terdapat beberapa lagi dakwaan termasuk sering mencetuskan masalah setiap kali berbelanya sehingga menyebabkan para penjual kurang senang dengan tindakan mereka.
Atta yang juga selebriti YouTube ternama Indonesia dilaporkan telah memaafkan individu yang membuat tuduhan liar pada keluarganya itu.
Kata Atta, sebagai manusia yang berjiwa besar, dia menerima permohonan maaf pelaku itu.
“Kalau ada salah kita segera perbaiki pada masa depan, kalau perlu dimaafkan juga (orang yang membuat salah). Andai kata kemaafan ini boleh menjadi penghapus dosa buat kami semua Alhamdulillah,” kata Atta seperti dilaporkan portal berita Indonesia.
Kata Atta, kesemua dakwaan yang disebarkan sangat mengejutkan mereka sekeluarga kerana selama ini, ibu dan bapanya menjalin hubungan yang baik dengan rakyat Malaysia.
"Keluarga tidak diusir, malah mereka bersahabat dengan masyarakat di sana (Malaysia). Ini kerana sejak dulu jika kita berpindah ke satu tempat, kita pentingkan kesejahteraan bersama. Keluarga saya memang ikut peraturan," kata Atta lagi.
Menjelaskan khabar keluarganya yang sudah lebih setahun tidak ditemuinya, Atta berkata, ibu dan bapanya berada dalam keadaan sihat.
Dia juga berdoa dan berharap agar pandemik segera berakhir dan diberi peluang untuk mereka sekeluarga kembali berhimpun seperti sebelum ini.
#Krisdayanti #besan #diusir dari Malaysia #Atta Halilintar #Aurel Hermansyah #menantu Krisdayanti
;