Dakwa tidak terima mesej cerai, Lufya minta suami jadi lelaki bertanggungjawab
Asyraf Roslan
September 18, 2019 12:04 MYT
September 18, 2019 12:04 MYT
NAMPAKNYA konflik rumah tangga Lufya semakin hangat!
Mana tidaknya, Lufya tampil mengaku tidak menerima sebarang 'mesej' yang menunjukkan dia sudah diceraikan oleh suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Baharum.
Pengakuan itu sekali gus menolak kenyataan Che Muhammad Hafiz kepada media bahawa dia sudah menceraikan isterinya itu melalui aplikasi WhatsApp.
Memetik Laporan mStar, Lufya bagaimanapun reda jika perpisahan menjadi jalan penyelesaian terakhir buat mereka berdua.
“Sebenarnya saya tak terima sebarang surat atau dokumen berkaitan cerai dan tiada lafaz cerai melalui WhatsApp seperti yang didakwanya.
“Saya masih menunggu dia memfailkan perceraian kami secara sah,” kata Lufya.
Lufya sangat berharap suaminya tampil dan menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara profesional.
Terdahulu, Che Muhammad Hafiz memaklumkan kepada media sudah menceraikan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.
Tindakan Dr Che Muhammad Hafiz berbuat demikian adalah kerana kedua-dua pihak tidak menemui jalan penyelesaian untuk memulihkan kembali hubungan.
Dr Che Muhammad Hafiz, 29, menikahi Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, pada 26 November 2016.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata Laana Haura yang berusia dua tahun.
Lufya sebelum ini mendakwa dia dianiaya suami sendiri yang melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab sejak tiga bulan lalu.