Dakwa keluarga difitnah, Hafidz Roshdi beri tempoh 48 jam untuk isteri mohon maaf
Madiha Abdullah
Mac 11, 2023 18:00 MYT
Mac 11, 2023 18:00 MYT
PELAKON Hafidz Roshdi hari ini menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri yang didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah pada 5 Mac lalu di Instagram.
Dalam satu surat terbuka yang dimuat naik ke media sosial, Hafidz berkata selama ini dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mahu menyelesaikan isu rumah tangga mereka secara baik.
"Penerbitan status Instagram awak bertarikh 5 Mac lalu mengaitkan dan mengaibkan seluruh keluarga saya.
"Antara butirannya, status Instagram awak menyebut adik saya bersubahat dan seluruh keluarga saya bersifat toksik. lanya jelas dan nyata, satu fitnah.
"Demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan diri dan seluruh keluarga, saya dengan rendah diri memohon dan memberi tempoh 48 jam dari sekarang kepada Shu dan mana-mana pihak untuk menarik balik sebarang penerbitan umum dan gambar keluarga saya berkait dengan isu atau kes rumah tangga saya.
"Saya juga mahu permohonan maaf secara terbuka dibuat pihak awak," tulisnya.
Bapa dua anak itu menegaskan sebagai ketua keluarga, dia berusaha menjaga aib dan maruah isterinya selama ini.
"Shu, saya jaga erat segala aib, kelemahan dan kekurangan awak sebagai isteri selama ini. Kita tidak sempurna. Saya hadap segala caci dan maki atas kelemahan dan kesilapan diri saya sendiri.
"Sebagai insan yang lemah, kita berdua tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Agak malang, ianya menjadi di luar kawalan," kata Hafidz yang masih percaya masih ada ruang untuk mereka berbaik.
Pada 2 Mac lalu, Nurul Shuhada membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, mendakwa ditumbuk Hafidz beberapa kali sehingga mengalami kecederaan pada bahagian mata.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan mengesahkan pelakon berusia 29 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, 13 Mac ini, berhubung kesalahan menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Buloh.
Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya mempunyai hubungan dengan wanita bernama Athira Yuhada.