Dah tak larat, penyanyi Demi Lovato umum henti adakan konsert jelajah
Agensi
September 15, 2022 18:45 MYT
September 15, 2022 18:45 MYT
PENYANYI Demi Lovato mengumumkan bahawa konsert jelajah untuk mempromosikan album studio terbaharu dan kelapannya, bakal menjadi yang terakhir.
Menerusi Instagram Story, penyanyi itu menyatakan dia "tidak mampu meneruskannya lagi".
"Saya sakit dan tidak boleh bangun dari katil. Saya tidak mampu meneruskan lagi. Jelajah ini akan menjadi yang terakhir buat saya," tulisnya pada kaspyen.
Dia menambah dalam satu kemas kini yang lain, meminta agar peminat yang hadir ke konsert membantunya meneruskan persembahan.
"Saya perlukan bantuan, jadi menyanyi dengan kuat bersama saya. Saya hampir tidak mempunyai suara, saya akan menghalakan mikrofon kepada penonton malam ini," katanya lagi.
Konsert jelajah tersebut sudah berlangsung selama sebulan, dan Lovato kini perlu menghabiskan siri terakhir di Amerika Syarikat. Dia tidak memberi bayangan akan menghentikan jelajah itu lebih awal, tetapi ia mungkin peluang terakhir peminat untuk menontonnya secara langsung.
Lovato memulakan kerjayanya pada usia muda bersama Barney and Friends, dan mula menempa nama selepas menyertai Disney menerusi siri Sonny With A Chance, Princess Protection Program dan siri Camp Rock. Dia juga sudah memulakan kerjaya muzik sejak 2008.
Dalam dokumentari Demi Lovato: Dancing With the Devil, Lovato mendedahkan pengalaman terbabit dalam penyalahgunaan dadah pada 2018, dan dokumentari Demi Lovato: Simply Complicated memperincikan pengalamannya melalui masalah gangguan bipolar.