Dah lama tunggu dapat anak, takkan nak suruh orang jaga pula - Achey
Gempak
September 20, 2018 13:24 MYT
September 20, 2018 13:24 MYT
PELAWAK dan penyanyi popular Achey mengakui lebih selesa untuk membesarkan sendiri anak angkatnya, Tiara Zinnirah bersama-sama isterinya, Nor Hasanah Yahaya.
Menurut Achey, dia tidak mahu menghantar anaknya ke pusat jagaan dan selesa bergilir-gilir menjaga anaknya itu.
"Sekarang ini saya dan isteri akan bergilir-gilir untuk menjaga Tiara kerana kami tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat dia membesar di depan mata.
"Sudah lama kami menantikan untuk dapatkan anak, jadi bila sudah ada takkan kami nak suruh orang jaga pula.
"Walupun penat bekerja saya akan mencari masa untuk mengajar Tiara dengan isteri dan kalau isteri penat, saya akan ‘take over’ dan begitulah sebaliknya.
"Kami nak merasa jaga anak sendiri dan akan lakukan yang terbaik untuk Tiara walaupun kadang-kadang tiada masa untuk berehat bagi diri sendiri," katanya kepada Gempak.
Achey yang mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah sejak tujuh tahun lalu mengambil Tiara Zinnirah sebagai anak angkat pada Mei lalu.
Achey berkata demikian ketika ditemui pada separuh akhir program Super Spotan Xtravaganza (SSX).
SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.
Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.
Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.
SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.