Dah berapa bilion kita rugi sejak zaman Tan Sri P Ramlee - Nasir Jani

Gempak
November 19, 2018 22:00 MYT
Nasir Jani (kanan) berpandangan apa yang dilakukan Syamsul Yusof (kiri) terhadap individu yang melakukan cetak rompak suatu yang disokong penggiat seni. -Foto Gempak
PENGARAH filem terkenal, Nasir Jani berpandangan apa yang dilakukan Syamsul Yusof terhadap individu yang melakukan cetak rompak suatu yang disokong penggiat seni.
"Ini benda baru bermakna mereka melakukan cetak rompak dalam platform digital. Ramai penggiat seni sebenarnya tidak tahu sangat mengenai kejadian seperti ini, jadi bagus Syamsul mengambil tindakan tersebut," katanya kepada Astro Gempak.
Nasir mengulas lanjut kejayaan Syamsul selepas pengarah muda itu menang kes tuntutan saman terhadap seorang individu yang didapati bersalah kerana bertindak memuat naik filem Munafik 2 secara haram di media sosial dan diperintah mahkamah membayar RM100,000.
Ujarnya, apa yang dilakukan Syamsul turut menjadi kesinambungan kepada perjuangan penggiat seni terdahulu yang tidak putus asa membanteras isu cetak rompak.
"Jika dulu, sudah berapa bilion Ringgit Malaysia kita sudah rugi sejak zaman Tan Sri P Ramlee dibandingkan RM100,000 yang dikenakan terhadap pesalah mengikut undang-undang," katanya.
Akuinya, sebelum ini penggiat seni tidak pernah mendapat apa jua bayaran denda daripada penjenayah cetak rompak.
Usaha Nasir dalam membanteras isu cetak rompak sejak zaman 1980-an masih berterusan sehingga menghasilkan buku tulisannya sendiri berjudul Cetak Rompak Kepala Bapak.
"Kita tidak mahu kerajaan sekarang memberi muka pada lanun cetak rompak. Selepas kes Syamsul ini, kita tunggu pula tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam terus menangani isu cetak rompak.
"Kita belum ada akta khusus yang melawan cetak rompak dalam bentuk digital. Jadi, pada siapa saja yang menjadi pengerusi FINAS atau ketua pengarah diharapkan agar dapat membawa usul ini sehingga ke parlimen," katanya.
Sebagai cadangan, pengarah filem popular, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta '87 ini menyatakan agar di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempunyai Timbalan Menteri kedua yang khusus menjaga hal ehwal berkaitan filem dan muzik.
"Sepatutnya FINAS juga mengawal selia muzik tapi akta itu tergantung, tidak diluluskan dan tidak dibahaskan," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak & IG @syamsulyusoffilm
#Cetak rompak #Nasir Jani #penggiat seni #Syamsul Yusof
;