"Curang adalah satu pilihan, setia adalah tanggungjawab" - Farid Kamil

Gempak
Mei 2, 2023 12:50 MYT
Sebelum ini, Diana ada memberi bayangan menerusi perkongsian InstaStory bahawa Farid tidak mengenal dirinya susulan dakwaan curang yang dilemparkan oleh suaminya itu. - Gempak
“CURANG adalah satu pilihan, setia adalah tanggungjawab,” demikian antara isi penting yang disampaikan oleh aktor Farid Kamil dalam satu kemaskini InstaStory yang dimuat naik baru-baru ini.
Farid berkongsi video yang dipetik dari sumber lain itu seolah-olah dilihat seperti mahu membalas kenyataan mengenai isu curang yang dibuat oleh isterinya, Diana Danielle di platform yang sama.
“Selalu ingat, curang adalah satu pilihan bukannya kesalahan. Manakala, setia adalah tanggungjawab dan bukan pilihan,” katanya.
Petikan itu bagaimana pun dikongsi tanpa sebarang ulasan daripada dirinya.
Sebelum ini, Diana ada memberi bayangan menerusi perkongsian InstaStory bahawa Farid tidak mengenal dirinya susulan dakwaan curang yang dilemparkan oleh suaminya itu.
BACA: Tuduhan orang ketiga bukti Farid Kamil tidak kenal Diana Danielle
Kata Diana, selepas hilang perasaan cinta terhadap Farid, hatinya sudah tidak dapat lagi menanggung kesakitan apatah lagi membiarkan diri terus dilukai.
Pada 10 Mac lalu Diana mengejutkan industri hiburan negara apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Farid di Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Namun sehingga kini kemelut rumah tangga pasangan ini belum bernoktah apabila Farid enggan menceraikan Diana dengan alasan percaya hubungannya dengan isteri boleh diselamatkan.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. -- Gempak
#Farid Kamil #Diana Danielle #penceraian #curang
;