"Cukuplah sembilan tahun menjadi isteri Syamsul Yusof" - Puteri Sarah
Faida Rahim
Januari 16, 2023 12:55 MYT
Januari 16, 2023 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, akhirnya memfailkan penceraian terhadap suaminya, pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof.
Menurut Puteri Sarah, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur telah menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes pertama selepas aktres berkenaan nekad memfailkan perceraian hari ini.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
“Kalau ikutkan tahun ini cukup sembilan tahun perkahwinan kami… 7 Mac tarikh yang mahkamah berikan itu kebetulan kerana 8 Mac itu ulang tahun ke sembilan tahun perkahwinan kami.
“Cukuplah sembilan tahun saya menjadi isteri Mohd Syamsul. Nampaknya tiada rezeki (untuk jodoh bertahan lama),” katanya kepadan wartawan di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon berusia 38 tahun ini juga menegaskan, dia bukan seorang wanita yang tidak bersetuju atau menghalang poligami.
Secara peribadi, kata Puteri Sarah, amalan poligami itu tidak salah sekiranya seseorang lelaki atau suami itu mampu berlaku adil pada isteri-isteri yang dinikahinya.
“Saya nak tekankan orang tuduh saya anti poligami, tuduh saya isteri derhaka, minta cerai dan sebagainya. Sebenarnya poligami itu indah tetapi kalau suami itu berlaku adil.
“Saya lega kerana satu beban telah dilepaskan dan 10 hari lagi (26 Januari ini) saya akan menunaikan umrah, semoga saya rasa tenang sahaja di sana,” katanya.
Puteri Sarah tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur sekitar pukul 10.25 pagi ditemani adik- beradiknya dengan berpakaian serba hitam.
Hadir bersama peguam beliau, Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan anak guamnya berjaya failkan permohonan cerai di bawah Puteri Sarah hadir ditemani dua adiknya, Puteri Sofia Nadira dan Megat Imran Ikram serta peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala saman telah diserahkan kepada pihak defendan iaitu Syamsul yang juga sutradara filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
“Saya berharap Syamsul hadir pada tarikh itu agar proses ini tidak berpanjangan.
“Kami akan mulakan prosiding mahkamah terhadap Ira Kazar, bapanya Kazar dan kakak Ira yang secara terang melanggar perintah injunksi yang kekal sehingga sekarang.
“Kita akan mulakan dengan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda sesuai jenis perlanggaran dilakukan. Ini perlanggaran paling dashyat di mana pihak sana sepatutnya tidak boleh mengganggu defendan sama sekali sehingga kes selesai.
“Ini tidak, mereka terus pergi ke luar negara dan bernikah tanpa izin mahkamah di sini yang jelas perbuatan adalah bercanggah perintah injunksi,” kata Akberdin.