CSI melabuhkan tirai selepas 16 tahun
Shamil Hizamie
Mei 14, 2015 18:56 MYT
Mei 14, 2015 18:56 MYT
Program penyiasatan popular CSI: Crime Scene Investigation pernah mencipta fenomena sekitar sedekad lalu. Siri televisyen yang berkisar mengenai para penyiasat lokasi jenayah, berusaha menyelesaikan kes pembunuhan ini bakal melabuhkan tirai selepas 16 tahun bersiaran.
Siri drama jenayah ini akan ditamatkan sementelah episod terakhir musim ke-15 disiarkan serta diikuti filem istimewa bagi menyimpulkan jalan ceritanya.
Filem khas itu akan disiarkan pada 27 September 2015 di Amerika Syarikat dan dikhabarkan sepanjang dua jam. Filem ‘perpisahan’ itu akan turut akan menampilkan para pelakon asal seperti William Petersen dan Marg Helgenberger.
Para peminat CSI berpeluang menyaksikan penyelia terdahulu kumpulan CSI iaitu Gil Grissom dan pembantunya, Catherine Willows beraksi semula selepas meninggalkan siri itu beberapa tahun lalu.
William Petersen menjadi peneraju siri CSI pada sembilan musim awal sebelum diambil alih Marg Helgenberger sehingga musim ke-12.
“Sememangnya kami amat bersedih dengan keputusan ini,” ujar Nina Tassler, Pengerusi CBS Entertainment dalam kenyataan rasmi laman syarikat itu.
Drama ikonik ini mempunyai 3 siri spinoff dalam tempoh 16 tahun. CSI: Miami bertahan sehingga musim ke-10, CSI: NY (9 Musim) dan CSI: Cyber mula ditayangkan pada Mac tahun ini.
CSI pernah dinobatkan sebagai salah satu drama siri paling popular dengan jumlah penonton melebihi 73.8 juta di seluruh dunia. Pada tahun 2012, CSI diangkat sebagai siri televisyen paling popular di dunia buat kali kelima di Festival Televisyen Monte-Carlo.