'Crazy Rich Asians' manfaatkan pelbagai lokasi menarik di Malaysia

Madiha Abdullah
Ogos 24, 2018 09:36 MYT
Filem Crazy Rich Asians menerima sambutan hangat dari penggemar filem dari seluruh dunia. - Reuters
RAKYAT Malaysia sebenarnya ada sebab yang kukuh untuk menonton dan tumpang berbangga dengan filem yang kini sedang menjadi bualan ramai, Crazy Rich Asians.
Bukan sahaja menampilkan beberapa bakat besar dari Malaysia, filem yang mengutip nilai jualan tiket lebih AS$35 juta di seluruh dunia selepas tiga hari ditayangkan ini juga menggunakan banyak tempat menarik di Malaysia sebagai lokasi.
Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur
Menurut pengarahnya, Jon M. Chu, cabaran untuk mencari kediaman yang besar dan mempunyai kawasan yang sangat luas merupakan sebab mengapa mereka akhirnya memilih Carcosa Seri Negara sebagai lokasi mahligai milik keluarga Nick Young.
Bantuan teknik computer generated image atau CGI juga membantu menjadikan babak di mana Rachel Chu kali pertama berkunjung ke rumah Young untuk diperkenalkan kepada keluarga, lebih menarik dan menepati gambaran seperti di dalam novel.
BACA: Gagal ikuti program khidmat negara, penulis buku Crazy Rich Asians dikehendaki Singapura
BACA: Henry Golding beritahu Hollywood, P Ramlee setaraf Frank Sinatra, Charlie Chaplin
BACA: 10 fakta menarik si jejaka tampan, Henry Golding
Rumah Agam Cheong Fatt Sze, Pulau Pinang
Menurut pereka produksi, Nelson Coates, keseluruhan babak di London dilakukan di Pulau Pinang.
"Kami masukkan dekorasi tersendiri dalam babak di dewan mahjong untuk memastikan ia bersesuaian dan bertepatan seperti gambaran penulis," kata Coates.
Langkawi
Dua babak dan latar lokasi berbeza tetapi penggambaran dijalankan di tempat yang sama, iaitu Pulau Langkawi.
"Kerana masalah logistik dan kekangan masa, kami perlu membuat Langkawi kelihatan seperti dua tempat yang berbeza untuk babak parti bujang Nick Young dan Araminta Lee," cerita Coates.
Crazy Rich Asians, yang diadaptasi dari novel dengan judul yang sama, sudah mula ditayangkan di Malaysia pada 22 Ogos. Henry Golding, Tan Sri Michelle Yeoh dan Carmen Soo merupakan antara bakat dari Malaysia yang dipilih membintangi filem ini, selain Constance Wu, Gemma Chan dan Awkwafina.
#Constance Wu #Crazy Rich Asians #filem #Henry Golding #Kuala Lumpur #Langkawi #Malaysia #Michelle Yeoh #Nelson Coates
;