COVID-19: Rizalman tutup operasi syarikat sementara waktu

Astro Awani
Mei 20, 2021 11:01 MYT
Rizalman berkata, keputusan dibuat mengambil kira keselamatan pekerja, sekali gus membantu mengurangkan penularan jangkitan akibat wabak COVID-19. - Instagram rizalman71
KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim mengarahkan syarikat miliknya melakukan penutupan dan penyekatan penuh ke atas semua pekerja dan penjualan, berkuat kuasa Rabu.
Beliau membuat pengumuman tersebut melalui akaun media sosialnya, menyatakan tindakan diambil susulan penularan COVID-19 yang masih berleluasa ketika ini.
Katanya, pengurusan Rizalman Ibrahim Group of Companies (RIC) membuat keputusan itu mengambil kira keselamatan pekerjanya.
Penutupan selama dua minggu atau sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian itu, juga bagi membantu mengurangkan penularan jangkitan akibat wabak itu.
Selain itu, penjualan beberapa produk secara dalam talian juga dihentikan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu dalam ruangan komen, arahan untuk melakukan penutupan dan penyekatan penuh Rizalman mendapat pujian warga maya yang bersetuju dengan langkah tersebut.
Malah, ramai turut mengharapkan syarikat tempat mereka bekerja juga mengambil langkah sama demi keselamatan pekerja.
#COVID-19 #keselamatan #Instagram #Rizalman Ibrahim #tutup #operasi
;