COVID-19: Pasca PKP nanti bisnes muzik akan berubah - Aznan Alias

Irwan Muhammad Zain
April 9, 2020 09:36 MYT
Aznan berharap selepas tamat PKP, kerajaan turut sama melihat nasib yang bakal menimpa penyanyi dan pemuzik dengan merombak kembali sistem lapuk yang digunapakai hari ini. - Gambar fail
KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan ekoran pandemik COVID-19, ramai penyanyi dan pemuzik hilang punca pendapatan lantaran banyak persembahan yang dibatalkan.
Kesan daripada pembatalan itu bukan hanya dirasai oleh penyanyi dan pemuzik tetapi turut dirasai krew-krew persembahan, seperti jurutera bunyi.
Bagi penyanyi, mungkin ketika tempoh PKP ini mereka boleh membuat persembahan secara dalam talian seperti yang dilakukan oleh busker, tetapi perkara itu agak sukar bagi pemuzik.
Apa yang perlu dilihat sekarang adalah selepas tamatnya PKP dan perubahan mendadak ekonomi dunia ialah apa yang perlu dilakukan oleh penyanyi dan pemuzik serta mereka yang terlibat dalam industri muzik.
Bagi pemuzik profesional Aznan Alias, selepas berakhir pelaksanaan PKP, persembahan hiburan akan lebih tertumpu di alam maya berbanding di pentas terbuka seperti sebelum ini.
Menurut Aznan, disebabkan banyak perubahan yang berlaku dalam berbagai bidang termasuk dalam industri muzik, berapa perkara perlu dilihat kembali terutamanya melibatkan hak terhadap artis dan pemuzik.
Ini kerana, beliau berpendapat, tidak ada gunanya jika industri muzik seluruh dunia berubah tetapi nasib artis dan pemuzik di Malaysia masih kekal seperti sebelum ini.
"Perkara ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana nature of business akan berubah tetapi sekiranya sistem yang ada di negara kita tidak turut berubah, nasib artis dan pemuzik akan tetap kekal seperti sebelum ini.
"Apa yang kita guna pakai sekarang ini adalah sistem di zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau lebih lama daripada itu yang mana ia juga satu sistem yang menyebabkan Seniman Agung itu sukar mendapatkan royalti beliau," katanya kepada Astro AWANI.
Ujar Aznan, sekiranya selepas ini persembahan lebih banyak secara dalam talian, apa yang perlu penekanan mendalam ialah hak persembahan.
"Jika di barat, pembahagian lebih adil antara syarikat rakaman, pemilik hak cipta dan YouTubers tetapi di sini (Malaysia) tidak berlaku begitu, syarikat rakaman akan kaut sepenuhnya.
"Syarikat rakaman bertindak demikian kerana mereka anggap semua itu adalah hak mereka sepenuhnya.
"Pemuzik akan terus terima nasib malang, membuat persembahan sepenuh hati untuk memberi keuntungan kepada pihak lain," kata Aznan penuh kesal.
Sehubungan itu, Aznan berharap selepas tamat PKP, kerajaan turut sama melihat nasib yang bakal menimpa penyanyi dan pemuzik dengan merombak kembali sistem lapuk yang diguna pakai hari ini.
Ini kerana, katanya, dengan hanya melihat kembali sistem lama yang masih digunakan dan mencari kaedah baharu yang lebih sesuai dengan zaman digital boleh membantu nasib penyanyi dan pemuzik serta krew persembahan.
#Aznan Alias #COVID-19 #krew #pembahagian #pemuzik #pendapatan #penyanyi #perintah kawalan pergerakan #persembahan #PKP
;