COVID-19: Nafas saya makin pendek - Siti Nurhaliza belajar Muay Thai tingkat stamina
Asyraf Roslan
November 6, 2022 14:31 MYT
November 6, 2022 14:31 MYT
KUALA LUMPUR: Rindu peminat untuk melihat beliau kembali beraksi di sebuah konsert akhirnya terubat.
Mana tidaknya beberapa tahun kebelakangan ini dunia dilanda dengan pandemik COVID-19 dan pastinya pelbagai aktiviti terpaksa dihadkan termasuk penganjuran konsert.
Sebelum menutup tirai tahun 2022, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil mengadakan persembahan istimewa menerusi konsert Music of The Soul buat peminat setianya.
Meskipun bukan pertama kali mengadakan konsert, pelantun lagu Seribu Kemanisan itu akui masih mempunyai rasa gementar lebih-lebih lagi beliau masih merasai impak menjadi salah seorang mangsa COVID-19.
“Saya kalau sakit benda yang saya tak nak kena, batuk dan selsema tetapi ini COVID-19 yang mana saya dapat batuk yang berpanjangan dan masih merasai kesannya. Sebab lepas kena COVID-19 tempoh hari pernafasan saya pendek .. kita nak nyanyi, nak jerit pun susah sangat.
“Jadi Siti memang berusaha untuk mengembalikan stamina, jadi saya buat banyak senaman antaranya Muay Thai untuk stamina dan pernafasan saya,” katanya kepada media selepas konsert hari pertama Music of The Soul.
Pada masa sama, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ti memaklumkan bahawa beliau sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh semua peminat yang hadir ke konsert.
“Saya sangat terharu dengan sambutan, sebab ini adalah persembahan eksklusif bagi mengutip dana buat Yayasan Nurjiwa, memang impian saya untuk meneruskan yayasan ini untuk sampai bila-bila,” tambahnya.
Siti Nurhaliza menyampaikan 18 buah lagu sempena Music of The Soul antaranya Warna Dunia, Diari Hatimu, Anta Permana, Aku Bidadari Syurgamu dan lagu Baldu Biru duet bersama Datuk Awie.
Lebih menarik perhatian penonton semasa Awie menyampaikan lagu Pantun Budi bersama Siti Nurhaliza.
Music of The Soul diadakan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 November 2022.
Hasil daripada jualan tiket konsert berkenaan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.