COVID-19: Khalid tunda konsert di beberapa negara Asia termasuk Malaysia
Afiq Ariffin
Februari 16, 2020 10:48 MYT
Februari 16, 2020 10:48 MYT
PENYANYI dan penulis lagu terkemuka Amerika Syarikat, Khalid mengumumkan terpaksa menangguhkan konsert jelajah Asianya, Khalid Free Spirit World Tour Asia 2020 di beberapa negara termasuk Malaysia, ekoran penularan wabak koronavirus COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan menerusi muat naik pihak pengurusan AEG Presents Asia di Instagram pada Jumaat.
Menurut muat naik berkenaan, penangguhan itu disebabkan oleh "larangan dan nasihat perjalanan yang dikeluarkan di beberapa negara Asia baru-baru ini".
"Perkara yang menjadi keutamaan kami adalah keselamatan para peminat Khalid dan pihak produksi serta kru yang bertugas di dalam konsert ini," jelas kenyataan itu.
Menurutnya lagi, pengumuman tarikh baharu akan diberitahu tidak lama lagi dan sebarang maklumat boleh diketahui di laman web rasmi mereka.
Dalam pada itu, pihak pengurusan tiket juga menyatakan bahawa pihaknya akan mengembalikan semula duit tiket konsert yang ditunda itu.
Malah, pihaknya turut menjelaskan bahawa tiket yang dibeli sebelum ini tidak boleh diguna pakai dan peminat perlu membeli tiket baharu untuk menyertai konsert terbabit.
Di Malaysia, Khalid dijadual bertandang ke negara ini pada 4 April di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam, sebagai sebahagian daripada konsert jelajah Asianya.
Tiket konsert tersebut, yang dijual pada harga RM403, RM303 dan RM203, dilaporkan telah habis terjual di atas talian pada hari sama, sebaik pembelian dibuka.
Selain Malaysia, negara yang menerima nasib sama adalah Thailand, Singapura, Malaysia, Filipina, Korea Selatan dan Jepun.
#AEG Presents Asia
#Asia
#COVID-19
#Free Spirit
#jelajah Asia
#Khalid
#Khalid Free Spirit World Tour Asia 2020
#konsert tunda
#koronavirus
#Malaysia
#tangguh konsert
#tiket konsert