COVID-19: Iman Troye mohon maaf gara-gara tweet 'Happy 6.9k'
Asyraf Roslan
Mei 26, 2021 10:00 MYT
Mei 26, 2021 10:00 MYT
PENYANYI Iman Troye tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikecam gara-gara memuat naik ciapan berunsur sindiran mengenai angka kes positif COVID-19 di akaun Twitternya, pada Ahad.
Iman yang popular dengan lagu "Teman" telah dikecam teruk oleh netizen kerana dianggap tidak sensitif dengan situasi berkenaan.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata dia sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak dan dia menyedari kesilapan yang dilakukannya.
"Saya tidak terdetik untuk melukakan sesiapa terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan kerana COVID-19.
"Saya ingin mohon maaf. Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan ini.
"Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kemas kini di laman Instagram pada Selasa.
AWANIxGEMPAK | Sharnaaz berang dengan Iman Troye
Iman juga berterima kasih kepada semua pihak yang tampil memberi teguran kepadanya dan berjanji akan cuba menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Terdahulu, Iman telah dikecam teruk oleh netizen kerana menulis statistik angka jangkitan harian COVID-19 dengan perkataan "Happy 6.9K" yang disifatkan seolah-olah dia berbangga dengan angka jangkitan tersebut.
Bagaimanapun, ciapan itu telah dipadam dan Iman mengambil keputusan untuk menyahaktif akaun Twitternya.
#Iman Troye
#penyanyi
#COVID-19
#kes positif
#petugas barisan hadapan
#Instagram
#Twitter
#dikecam netizen
#nyahaktif akaun twitter