COVID-19: Finas sedang usahakan pinjaman kewangan untuk penerbit teruskan operasi - Hans Isaac
Irwan Muhammad Zain
April 11, 2020 18:49 MYT
April 11, 2020 18:49 MYT
Industri filem dan televisyen merupakan antara yang bakal terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 dan ia bakal menempuh satu cabaran baru yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Beberapa negara eropah telah mengumumkan beberapa program khusus yang mensasarkan industri perfileman.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga tidak ketinggalan dalam usaha membantu memastikan penerbit, pengarah dan pekerja filem tidak kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac menjelaskan pihaknya sedang berusaha menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya Kementerian Kewangan dapat memberikan peruntukan kepada agensi tersebut untuk dijadikan bridging loan kepada penerbit-penerbit filem dan drama.
Menurut Hans, sejak minggu pertama Perintah Larangan Pergerakan (PKP), Finas telah mula berusaha mencari jalan untuk membantu penerbit, pengarah dan pekerja filem.
"Saya sangat memahami masalah yang dihadapi bukan hanya penerbit tetapi juga pengarah dan pekerja filem kerana saya juga bermula sebagai pelakon sebelum bergelar pengarah dan penerbit.
"Kerana itu Finas berusaha untuk mendapatkan peruntukan dari Kementerian Kewangan untuk menyediakan bridging loan kepada penerbit yang mempunyai kontrak dengan stesen televisyen.
"Cadangan awal selepas satu perbincangan dengan beberapa pihak industri adalah jika penerbit-penerbit ini mendapat kontrak dari mana-mana stesen televisyen, mereka boleh datang berjumpa Finas dan memohon bridging loan ini.
"Pinjaman ini mungkin akan dikenakan kadar faedah yang rendah atau tiada faedah langsung, tidak seperti bank atau dana lain yang mengenakan faedah yang tinggi. Ini adalah cadangan awal dan tertakhluk kepada kelulusan yang lebih lanjut" katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Hans, selepas tiga tahun wang pinjaman jangka pendek yang dibayar balik oleh penerbit itu akan dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.
Selain itu, Hans juga menjelaskan Finas berusaha untuk memastikan Dana Kandungan Digital dapat dimanafaatkan sepenuhnya kepada syarikat penerbitan.
"Asas Dana Kandungan Digital ini ialah untuk memberi sebanyak peluang pekerjaan kepada pemain-pemai industri.
"Finas akan berusaha untuk memastikan dana itu dapat digunakan sebaik mungkin untuk membantu industri selepas PKP nanti.
"Ia akan dilaksanakan dengan cepat untuk memastikan indutsri terus bergerak," katanya.
Beliau berharap semua persatuan-persatuan berkaitan filem agar dapat berada di bawah Finas untuk memudahkan bantuan diberikan.
Selain itu, Hans juga berharap penerbit, pengarah dan pekerja filem juga memahami bahawa semua yang diusahakan ini perlu melalui prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.