COVID-19: Collin Farrell, Jamie Lee Curtis antara positif selepas hadir Golden Globe

Faida Rahim
Januari 18, 2023 12:42 MYT
beberapa bintang termasuk Collin Farrell, Brendan Gleeson, Jamie Lee Curtis dan Michelle Pfeiffer mengumumkan mereka dijangkiti virus itu beberapa hari selepas anugerah Golden Globe. - Foto Facebook Valentino, The Black Donnelly's Dublin
LOS ANGELES: Beberapa selebriti Hollywood dilaporkan disahkan positif COVID-19 berikutan penampilan di acara anugerah Golden Globe, baru-baru ini.
Memetik laporan BBC, beberapa bintang termasuk Collin Farrell, Brendan Gleeson, Jamie Lee Curtis dan Michelle Pfeiffer mengumumkan mereka dijangkiti virus itu beberapa hari selepas anugerah itu.
Sehubungan itu, Critic’s Choice Awards (Anugerah Pilihan Kritik) yang disiarkan Ahad lalu memerlukan tetamu menjalani ujian COVID-19 untuk tetamu yang hadir.
Hasilnya, ada yang terpaksa duduk di luar dan beberapa selebriti menulis melalui media sosial. "Saya sangat kesal kerana terlepas Anugerah Pilihan Pengkritik hari ini. Ya, COVID." tulis Pfeiffer dalam sebuah hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, Jamie Lee Curtis turut bersuara di platform media sosial memberitahu, "Malangnya, ‘ketua sorak’ ini tidak dapat meraikan bersama menceriakan rakan sekerjanya. Kehidupan mengikut aturannya," katanya.
Menurut The Hollywood Reporter, langkah berjaga-jaga keselamatan COVID-19 seperti pelaksanaan ujian, vaksinasi dan keperluan pelitup wajah dilihat tidak konsisten di anugerah kali ini.
Sesetengah acara dan upacara bersemuka tidak memerlukan sebarang langkah keselamatan, manakala yang lain, seperti Golden Globe dan Anugerah Pilihan Pengkritik, memerlukan sama ada ujian, bukti vaksinasi atau kedua-duanya.
Pakar kesihatan awam berkata mereka tidak terkejut dengan kesukaran yang dihadapi di majlis anugerah Hollywood.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Ketua Pegawai Inovasi di Hospital Kanak-kanak Boston kepada ABC, Dr John Brownstein memaklumkan situasi ini bukan sesuatu yang tidak dijangka.
"Anda mengadakan acara tertutup semasa banyak virus tersebar, sama ada demam atau selesema, dan berdekatan tanpa topeng... anda akan mempunyai penularan virus yang aktif."
Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memaklumkan kematian mingguan akibat COVID-19 terus meningkat dengan 3,907 dilaporkan sehingga 11 Januari.
#COVID-19 #Hollywood #media sosial #Golden Globes
;