COVID-19: Bacaan Yasin, doa selamat buat Najman Mohamed diadakan Khamis ini

Astro Awani
Ogos 24, 2021 14:52 MYT
Selain Najman, isterinya, Hawa Atan dan dua anaknya, Amirul Akidd dan Amirul Akiff juga disahkan positif COVID-19. - Facebook / Najman Mohamed
KUALA LUMPUR: Satu majlis bacaan Yasin dan doa kesembuhan buat bekas penyampai radio ERA dan Sinar, Najman Mohamed akan dianjurkan pada Khamis jam 9.30 malam.
Najman, 51, mengumumkan dirinya positif COVID-19 pada 14 Ogos lalu namun kini dilaporkan sudah berada di tahap empat dan memerlukan bantuan oksigen akibat tekanan darah rendah.
Menerusi perkongsiannya di laman Facebook pada Jumaat, Najman memaklumkan bahawa tahap oksigennya kini berada di bawah paras 92.
"Demam melampau, level oksigen bawah level 92, atas nasihat doktor, guna oksigen.
"Ya Allah sembuhkan penyakit hambamu ya Rabb, COVID-19 fighter," katanya.
Terdahulu, Najman yang sebelum ini hanya menjalani kuarantin di rumah namun mula menyatakan rasa tidak sedap badan selepas menjalankan senaman paru-paru.
Susulan itu dia dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri (KPJ), Johor Bahru pada Isnin petang.
"(Saya) bertahan kuarantin di rumah, Isnin pagi buat senaman paru-paru rasa lain macam.
"Petang saya ke hospital dan membuat ujian x-ray dan menjalani CT Scan, rupanya dah tahap tiga," tambahnya.
Selain Najman, isterinya, Hawa Atan dan dua anaknya, Amirul Akidd dan Amirul Akiff juga disahkan positif COVID-19.
Bagaimanapun isterinya yang sebelum ini berada pada tahap empat dilaporkan semakin pulih dan mungkin dibenarkan keluar hospital manakala dua anaknya hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Terdahulu pada Julai, Najman kehilangan adik Azman Mohamed dan isteri Norashima Ramli juga akibat COVID-19.
#najman mohamed #penyampai radio #COVID-19 #pandemik
;