COVID-19: ATEEZ batal konsert di Paris

Isabelle Leong
Mac 10, 2020 01:17 MYT
ATEEZ dianggotai Hongjoon, Mingyi, Yeosang, Wooyoung, San, Yunho, Jongho, Seonghwa membuat debut pada 2018. - Instagram/@ateez_official_
SUSULAN penularan wabak COVID-19 yang belum ada tanda reda, rata-rata kumpulan sensasi Korea Selatan menunda ataupun membatalkan konsert mereka yang dijadual berlangsung dalam jangka masa terdekat ini.
Terkini, kumpulan ‘rookie’ Korea Selatan, ATEEZ, membatalkan konsert ATEEZ: The Fellowship: Map The Treasure Tour yang sepatutnya berlangsung di Paris.
Promoter konsert kumpulan tersebut, MyMusic Taste, menerusi satu kicauan di laman Twitter berkata, pembatalan tersebut adalah disebabkan larangan terbaru kerajaan Perancis terhadap perhimpunan besar-besaran melebihi 1,000 orang.
“Sejak pengumuman pertama kerajaan Perancis untuk melarang himpunan besar iaitu melebihi 5,000 orang, ATEEZ, KQ Entertainment, Los Productions dan MyMusic Taste telah bekerja keras untuk memikirkan solusi yang membolehkan kami untuk meneruskan konsert tersebut.
“Kami memohon maaf kepada semua peminat yang menunggu ATEEZ di Paris atas kesulitan ini.
“Kami akan buat yang terbaik untuk membawakan berita baik kepada ATINY (nama fandom ATEEZ) Eropah dalam masa terdekat,” kata MyMusic Taste dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, pada 29 Feb lalu, kerajaan Perancis telah mengharamkan perhimpunan di tempat tertutup yang melebihi 5,000 orang - larangan itu ditetapkan sehingga 15 April.

ATINY in France! Please kindly read our statement regarding ATEEZ The Fellowship: Map The Treasure in Paris"#ATEEZinParis pic.twitter.com/GRSMEOm5ag

— MyMusicTaste (@_mymusictaste) March 9, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
MyMusic Taste juga berkata bayaran balik penuh tiket akan dikembalikan kepada peminat yang sudah membeli tiket.
Bagaimanapun, katanya, majlis ATEEZ Global Fansign di Paris akan diteruskan seperti yang dirancang.
BACA: BTS batal konsert di Seoul gara-gara COVID-19
BACA: Koronavirus: SEVENTEEN batal konsert di Kuala Lumpur, lima lokasi lain
Konsert ATEEZ: The Fellowship: Map The Treasure Tour pada asalnya dijadualkan untuk berlangsung di AccorHotels Arena pada 17 Mac.
ATEEZ yang dianggotai lapan individu iaitu Hongjoon, Mingyi, Yeosang, Wooyoung, San, Yunho, Jongho, Seonghwa membuat debut pada 2018.
Oktet tersebut tampil dengan dua lagu, "Pirate King" dan "Treasure" sebagai lagu debut mereka.
Setakat Isnin (9 Mac), Perancis merekodkan lebih 1,100 kes dan 19 kematian akibat COVID-19.
BACA: 110,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia
BACA: COVID-19: Angka kematian di Itali meningkat mendadak
BACA: Salam korona ubah tradisi, rakyat Perancis kini kurang laga pipi
Ia sekali gus menjadikan negara tersebut kedua paling terkesan di Eropah selepas negara jirannya, Itali yang telah mengenakan sekatan perjalanan di seluruh negara bermula Selasa.
Memetik laporan Reuters, seorang pekerja di Disneyland Paris disahkan positif COVID-19.
Penularan wabak tersebut menjadi suatu kebimbangan buat industri pelancongan Perancis kerana menyebabkan penurunan pelancong ke negara tersebut.
#ATEEZ #ATEEZ The Fellowship Map The Treasure Tour #COVID-19 #Hongjoon #Jongho #K-pop #konsert #Korea Selatan #koronavirus #KQ Entertainment #Mingyi #MyMusic Taste #Paris #San #Seonghwa #wabak #Wooyoung #Yeosang #Yunho