COVID-19: "Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik" - Alif Satar

Saharudin Musthafa
November 30, 2020 14:20 MYT
Kata Alif, tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terharunya kerana setiap saat dan ketika dia dititipkan doa termasuk daripada golongan ulama dan pemimpin negara. - Gambar Instagram ALIF SATAR
HATI siapa yang tidak dirundung duka apabila disahkan positif COVID-19, lebih-lebih lagi ketika penawar pandemik itu masih belum ditemui.
Duka dan murung tambah berduka apabila terpaksa berjauhan lebih 100 kilometer dengan isteri, anak-anak serta ayah dan ibu kerana perlu menjalani kuarantin di hospital.
Namun, apa kudrat yang Alif Satar ada untuk melawan kehendak takdir selepas menjadi antara mangsa wabak yang telah melumpuhkan sistem kehidupan manusia di hampir sebahagian besar negara di seluruh dunia.
Kerana itu, Alif tidak mampu membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya dia tidak diberi kesembuhan dan seandainya ditakdirkan tidak mampu hidup lama, bagaimana dengan keluarga yang ditinggalkan.
Kata Alif, itulah perasaan-perasaan yang sentiasa bermain di fikirannya sebaik dimasukkan ke hospital.
Alif sedar, kebimbangan sedemikian adalah lumrah bagi setiap manusia yang diuji sepertinya.
Namun dalam masa sama, jauh di sudut hati, artis berusia 30 tahun itu hanya mampu memanjatkan doa kepada Allah SWT memohon ihsanNya agar diberi kesembuhan.
Genap seminggu dirawat di Hospital Melaka, Alif tidak sabar menghitung hari untuk kembali ke pangkuan isterinya, Sha Dila Hadid serta tiga permata hatinya, Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, yang terpaksa menjalani kehidupan seharian tanpa kehadirannya.
“Allah SWT sahaja yang tahu betapa mencabarnya kehidupan kami sekeluarga ketika ini. Bukan Alif tidak pernah berjauhan dengan keluarga tetapi ketika itu semuanya atas urusan kerja dan pilihan Alif sendiri.
“Cuma kali ini, situasinya berbeza… bukan sebab kerelaan Alif menyebabkan jarak yang terpisah dirasakan sangat jauh, Alif di Melaka, isteri dan anak-anak serta ayah dan ibu di Kuala Lumpur,” kata artis serba boleh boleh itu kepada Astro AWANI menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.
BACA: Datuk kepada Alif Satar berusia 91 tahun sembuh dari COVID-19
BACA: 'Tolong buang sampah, hantar makanan' - Alif Satar terharu jiran murah hati
Selepas seminggu dirawat, penyanyi, pelakon dan pengacara ternama itu memaklumkan, keadaannya semakin baik selepas mendapat rawatan intensif.
Bahkan, kata Alif, deria rasa dan bau juga sudah 80 peratus kembali pulih selain tidak lagi berhadapan dengan masalah hidung tersumbat seperti yang dihadapinya pada peringkat awal ketika didiagnos.
“Alhamdulillah… mudah-mudahan semuanya akan kembali seperti sedia kala dalam masa terdekat,” ujar Alif yang tidak putus-putus menzahirkan kesyukuran kepada Allah
Ketika diuji dengan pandemik ini, Alif bagaimanapun, bersyukur kerana dia dikelilingi ahli keluarga serta sahabat-sahabat yang tidak pernah putus-putus mendoakan kesembuhannya.
Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terharu Alif kerana setiap saat dan ketika dia dititipkan doa termasuk daripada golongan ulama dan pemimpin negara.
Katanya, doa-doa yang dikirim kepadanya adalah tanda keprihatinan dan tanggungjawab setiap umat Islam kepada saudaranya khususnya ketika dilanda musibah.
“Alif amat terharu dengan doa dan sokongan yang diberikan kepada Alif dan keluarga,” ujarnya lagi.
Memahami bahawa COVID-19 belum mempunyai penawar, Alif dalam masa sama amat yakin dengan kebesaran Allah setiap pesakit sepertinya akan diberi kesembuhan dan mampu kembali menjalani kehidupan seperti orang lain.
Kata Alif, sebagai seorang Islam, dalam situasai sekarang, kebergantungan pada Allah adalah sebaik-baiknya
“Dia adalah sebaik-baik penolong. Dia Yang Maha Kaya yang boleh mengangkat penyakit ini pada bila-bila masa… Insya-Allah,” kata Alif mengakhiri perbualan.
BACA: Alif Satar terharu Dr Zulkifli bertanya khabar tentang kesihatannya
BACA: 'Allah SWT makbulkan doa kalian semua' - Alif Satar umum isteri, anak negatif COVID-19
#Alif Satar #COVID-19 #isteri #anak-anak #Sha Dila Hadid #Alisha Anugerah #Ariana Mecca #Muhammad Ali
;