Cosby akan dibicara atas tuduhan seksual - Hakim

Agensi
Mei 25, 2016 08:01 MYT
Imej menunjukkan Cosby meninggalkan bangunan mahkamah di daerah Montgomery pada 2 Februari, 2016. - Gambar AFP/Kena Betancur
Seorang hakim di Pennsylvania pada awal Selasa memutuskan bahawa legenda televisyen, Bill Cosby perlu dibicarakan atas tuduhan serangan seksual ke atas seorang wanita di Philadelphia pada 2004.
Dalam kejadian itu, pelakon berusia 78 tahun itu telah didakwa melakukan serangan itu di kediamannya berdekatan Cheltenham, berdekatan bandar Philadelphia selepas memberikannya wain dan dadah.
Hakim Elizabeth McHugh membuat keputusan selepas dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam di Norristown, berpendapat mahkamah mempunyai bukti kukuh untuk Cosby berdepan perbicaraan.
'Semoga berjaya," sapa McHugh kepada Cosby yang tenang sewaktu perbicaraan berlangsung.
"Terima kasih," jawab Cosby, tanpa sebarang komen. Pihak pembelaan sekeras-kerasnya berpendapat Cosby tidak bersalah dan menyatakan pelakon itu kini hampir hilang penglihatan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, Cosby boleh dihukum penjara maksimum lima hingga 10 tahun dan denda AS$25,000.
Februari lalu, McHugh memutuskan bahawa pendakwa raya boleh meneruskan tuduhan serangan seksual terhadap Cosby sekali gus mengetepikan usaha peguam belanya bagi menolak kes itu.
Kes itu disebut di mahkamah di daerah Montogomery, tidak jauh dari Philadelphia, adalah kes jenayah pertama difailkan terhadap pelakon itu selepas berpuluh kes serangan seksual berlegar selama empat dekad.
#Bill Cosby #kes serangan seksual #komedi #mahkamah #televisyen
;