Corat-coret Anugerah Skrin 2015
Gempak
November 9, 2015 10:00 MYT
November 9, 2015 10:00 MYT
Malam kemuncak Anugerah Skrin 2015 (#ASK2015) secara rasminya telah pun berakhir dengan menyaksikan ‘Lelaki Harapan Dunia’ dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Manakala bagi kategori drama terbaik pula dimenangi oleh drama berjudul ‘Lorong Kecil Ke Syurga’.
Selain itu, majlis Anugerah Skrin 2015 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti popular tanah air seperti Aaron Aziz, Lisa Surihani, Nora Danish, Ayda Jebat dan Zul Ariffin.
Di sini kami ingin kongsikan kepada anda, corat-coret sepanjang #ASK2015 berlangsung yang tidak dapat dilihat menerusi kaca televisyen di rumah.
1. Hampir kesemua penonton yang hadir untuk menyaksikan #ASK2015 di PWTC memakai pakaian mengikut tema yang ditetapkan iaitu ‘Black tie’.
2. Keadaan agak tidak terkawal apabila yang beratur dipintu masuk mulai hilang sabar kerana mengambil masa yang begitu lama untuk masuk ke dalam dewan.
3. Peminat tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama artis kesayangan mereka sewaktu acara karpet merah berlangsung.
4. Nazim Othman kelihatan kelam-kabut sambil berlari menuruni anak tangga. Mungkin tertinggal barang agaknya?
5. Kehadiran adik-beradik Senrose iaitu Nelydia, Uqasha dan Raisya menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi mereka bertiga begitu anggun mengenakan busana berwarna hitam. Gelagat manja mereka bertiga sewaktu berinteraksi juga turut mendapat perhatian peminat. Alahai comel sungguh mereka bertiga ni.
6. Sewaktu acara hampir bermula, masih ada lagi penonton yang tidak dapat masuk ke dalam dewan dan ada yang mula ‘panas hati’ dengan pihak pengurusan #ASK2015.
7. Ketika acara bermula, penonton yang berdiri di tepi pentas mula bertindak kasar dengan menolak satu sama lain untuk duduk di tempat yang disediakan. Mereka kemudiannya ditenangkan oleh pihak produksi #ASK2015.
8. Perkara lucu berlaku ketika penyampaian anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama yang dimenangi oleh Izuan Fitri ,13, di mana aktor Aaron Aziz selaku penyampai anugerah membantu untuk menyelaraskan ‘mic’ supaya bersesuaian dengan ketinggian pemenang. Tetapi malangnya ‘mic’ tersebut tercabut dan penonton ketawa melihat aksi terkejut Aaron Aziz.
9. Sewaktu aktres Ayu Raudhah naik ke pentas menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem (Lagenda Budak Setan 3 – Kasyah), suaminya, Zaquan Adha tersenyum sambil merekod video isterinya yang memberi ucapan di atas pentas.
10.Umie Aida nampak cantik memakai sari sewaktu persembahan khas teater Mok Cun. Malah aktres ini juga turut menari sambil menyanyi.
11. Ketika drama ‘Rindu Awak 200%’ dinobatkan sebagai Drama Rantaian Popular Media Sosial, pelakon Ayda Jebat dan Zul Ariffin seakan-akan mengelak antara satu sama lain sewaktu berada di atas pentas bersama ‘team’ drama tersebut.
12.Kemuculan khas Anuar Zain di #ASK2015 mengejutkan dan nampaknya ramai wanita cair sebaik sahaja penyanyi bersuara merdu itu memulakan bicara. Bayangkan bila Anuar Zain bagi ucapan pun penonton wanita boleh tersenyum hingga ke telinga apatah lagi kalau menyanyi kan?
13. Penampilan pertama Lisa Surihani setelah bergelar ibu mendapat sorakan daripada peminat. Lisa juga kelihatan comel dan sedikit berisi namun tetap cantik . Isteri kesayangan Yusry KRU ini telah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem (Dendam Orang Mati). Yusry pula senyum-senyum je bila Lisa naik ke pentas.
14. Gandingan Shaheizy Sam dan pelakon veteran Ruminah Sidek sangat comel. Gelagat mereka berdua membuatkan penonton di dewan ketawa. Malah pelakon Yana Samsudin pun tidak ketinggalan merakamkan aksi mereka berdua.
15.Walaupun sudah hampir jam 2.00 pagi, peminat masih lagi setia menunggu di luar dewan semata-mata untuk bergambar dengan artis kesayangan mereka.