Corat-Coret: Anugerah Lawak Warna 2014 penuh kejutan

Gempak
September 20, 2014 11:24 MYT
Anugerah Lawak Warna diadakan bagi menghargai sumbangan pelawak negara
Nampaknya kejutan demi kejutan telah muncul sepanjang siaran langsung Anugerah Lawak Warna (ALW 2014) yang berlangsung pada Jumaat.
Kejutan bermula dengan persembahan pembukaan oleh pengacara ALW 2014 sendiri, Dato’ AC Mizal yang telah menyanyikan single terbarunya bersama Luna Maya berjudul ‘Paranoid’.
Rasanya, inilah pertama kali single terbaru Paranoid dipersembahkan dalam program yang disiarkan secara langsung di Malaysia!
Paling seronok, apabila Luna Maya berjaya memainkan wataknya di dalam lagu tersebut dengan sangat baik!
Usai persembahan pembukaan yang menarik daripada Dato’AC dan Luna Maya, kebanyakan hadirin di dalam dewan terkejut besar apabila pelakon terkenal Nabila Huda telah diperkenalkan sebagai hos bersama Dato’ AC.
KEPUTUSAN PENUH ANUGERAH LAWAK WARNA 2014 DI SINI
Ada juga yang berbisik sesama sendiri kerana tidak menyangkan Dato’ AC akan berpasangan dengan anak rockers terkenal tersebut.
Ini kerana sebelum ALW 2014 bermula, ramai yang meneka Dato' AC akan bergandingan dengan Luna Maya atau Amy Mastura sebagai pengacara malam penuh berprestij itu.
Pengacaraan Dato’ AC dan Nabila dilihat lebih santai apabila Nabila memanggil AC dengan gelaran ‘Uncle’.
Di saat hadirin sedang bergelak ketawa dengan gelagat selebriti di dalam dewan, suasana menjadi sunyi apabila Anugerah Khas Juri diumumkan.
Anugerah tersebut telah dianugerahkan kepada dua lagenda komedi tanah air, Dato Jamali Shadat dan Hamid Gurkha dan telah disampaikan oleh Prof. Razak Mohaideen.
Pelawak Hamid Gurkha menggamatkan dewan Teater Selangor apabila dia berkata “dah hujung-hujung ada juga orang sudi beri anugerah”. Sungguhpun bunyinya agak lucu dan mengundang tawa, namun ungkapan tersebut mempunyai maksud yang mendalam dan besar maknanya!
Sementara itu, anggota kumpulan Senario, Wahid mencuri tumpuan penonton apabila dilihat mengesat air mata sebaik sahaja Senario diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri - Pencapaian Komedi Sepanjang Zaman.
Wahid juga telah memeluk erat rakan-rakannya yang lain sambil menahan sebak.
Paling menyentuh perasaan apabila kesemua anggota Senario baru dan lama, iaitu Azlee, Wahid, Lan Pet-Pet, Hamdan, Ilya, Saiful Apek dan Yassin berpegangan tangan menuju ke pentas.
Anugerah tersebut telah disampaikan dua pengarah terkenal, Mamat Khalid dan Ahmad Idham.
Seperti kebiasaan, malam anugerah tidak akan lengkap sekiranya tidak berlaku usik-mengusik!
Antara selebriti yang menjadi mangsa usikan pada malam tadi ialah pasangan baru putus cinta, Intan Ladyana dan Kamal Adli serta pengarah muzik terkenal Ramli M.S dan pasangannya Alyah.
Lagi perkara menarik yang boleh dikongsikan ialah mengenai persembahan penutup oleh kumpulan Lipan Bara (seperti yang diberitahu Dato’ AC) yang dianggotai Yus (Jambu), Tauke (Jambu), Jep (SepahTu) dan Shuib (SepahTu).
Mengejutkan apabila buat pertama kalinya penonton di dalam dewan dan rumah dapat menyaksikan para pelawak tersebut menyanyi dan bermain gitar.
Lebih membanggakan, kesemua mereka mempunyai suara yang bagus dan hebat bermain gitar!
Tidak ada siapa yang menyangka, vokal Shuib, Jep dan Yus setara dengan penyanyi profesional di Malaysia!
#Anugerah Lawak Warna 2014 #Jep Sepahtu #Maharaja Lawak Mega #Sharifah Sakinah
;