Coldplay tambah sehari lagi persembahan di Singapura, susulan permintaan tinggi
Fareez Azman
Jun 19, 2023 17:00 MYT
Jun 19, 2023 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Konsert siri jelajah kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Nasional Singapura ditambah satu hari lagi pada 30 Januari 2024.
Perkara itu dimaklumkan menerusi ciapan Twitter Coldplay pada Isnin.
"Pra-jualan untuk (Konsert Coldplay) di Singapura pada 23, 24, 26 & 27 Januari 2024 kini ditutup. Disebabkan permintaan yang luar biasa, pertunjukan hari kelima di Stadium Nasional Singapura telah ditambah untuk 30 Januari 2024.
"Jualan am untuk kelima-lima pertunjukan itu bermula pada pukul 10 pagi waktu tempatan esok (20 Jun)," jelas ciapan itu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati laman Live Nation Singapore yang juga laman rasmi penjualan tiket yang dibuka sejak 10 pagi tadi untuk pra-jualan dibanjiri 700,000 pelayar sekitar Asia.
Selain Singapura, siri jelajah dunia Coldplay akan menghiburkan peminat di Kuala Lumpur, Malaysia pada 22 November ini, manakala Manila, Filipina dan Bangkok, Thailand masing-masing pada 19 Januari dan 3 Februari tahun depan.