Coldplay mahu lebih 'hijau dan lestari', tiada konsert jelajah sempena album baharu
Agensi
November 22, 2019 11:16 MYT
November 22, 2019 11:16 MYT
Kumpulan muzik dari Britain, Coldplay, tidak akan mengadakan konsert jelajah sempena kehadiran album baharu mereka, namun sedang merancang membuat persembahan berskala kecil yang lebih mesra persekitaran, ujar vokal utamanya Chris Martin.
Reuters melaporkan, kumpulan rock yang terkenal dengan lagu seperti Yellow, Paradise dan Viva la Vida itu, akan melancarkan album studio kelapan mereka, Everyday Life pada Jumaat.
Rakaman berdurasi 52 minit itu mengandungi dua bahagian, 'Sunrise' dan 'Sunset'.
"Kami tidak akan menjelajah dengan album ini. Dalam setahun dua ini kami merancang untuk menjadikan persembahan kami, bukan sahaja lebih lestari kepada alam sekitar malah memberi manfaat secara aktif.
"Impian kami adalah untuk mengadakan persembahan tanpa melibatkan bahan plastik sekali guna, serta menggunakan kuasa solar," ujar Martin kepada penyiar BBC di Jordan, iaitu lokasi Coldplay menjayakan dua persembahan pada Jumaat.
Coldplay juga akan mengadakan persembahan tunggal di Natural History Museum di London pada Isnin untuk mempromosi album mereka. Semua hasil kutipan persembahan akan disalurkan kepada pertubuhan alam sekitar, ClientEarth.
"Itu satu-satunya persembahan kumpulan kami di United Kingdom sempena era Everyday Life," ujar kenyataan media.
Kali terakhir Coldplay mengadakan konsert jelajah dunia adalah pada 2016-2017 untuk mempromosi album A Head Full of Dreams.
"Kita semua dalam setiap bidang, perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menjalankan tugas," jelas Martin.
Berikutan kebimbangan tentang nasib alam sekitar daripada konsumer dan para peminat muda, beberapa penggiat muzik telah menyerapkan mesej tentang isu perubahan iklim, atau mengumumkan perancangan untuk menyokong gerakan hijau.
Kumpulan The 1975 misalnya, bekerjasama dengan aktivis alam sekitar Greta Thunberg dalam sebuah lagu dalam album terbaharu mereka.
"Sungguh hebat apabila melihat artis terkenal kini ke depan untuk melindungi planet ini. KIta semua ada tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik dalam mendepani krisis iklim dan alam sekitar," kata ketua organisasi Climat Change dalam kumpulan konservasi WWF, Gareth Redmond-King.
#aktivis
#alam sekitar
#album baharu
#Britain
#Chris Martin
#Coldplay
#Greta Thunberg
#jelajah
#Jordan
#konsert
#kuasa solar
#kumpulan rock
#mesra alam
#pencemaran
#persembahan
#plastik sekali guna