Cinta paling agung, inspirasi kisah viral suami isteri
Gempak
Julai 15, 2015 15:03 MYT
Julai 15, 2015 15:03 MYT
Setiap wanita dijadikan berpasangan dengan lelaki dan setiap pasangan pasti mempunyai pengalaman cinta yang berlainan tidak kisah sama ada yang sudah berkahwin atau tidak.
Seperti mana kisah kehidupan berkahwin antara Myza (Siti Saleha) dan Khairi (Aaron Aziz) yang pada mulanya bahagia tiba-tiba dilanda badai berpunca daripada seorang wanita.
Filem Cinta Paling Agung adalah berinspirasikan kisah viral cinta pasangan suami isteri yang menyentuh hati di laman sosial.
Kisah tersebut nyata membuatkan pembaca mengalirkan air mata sekaligus memahami betapa tabahnya hati seorang wanita bergelar isteri apabila mendapat tahu bahawa suaminya mencintai wanita lain.
Dan betapa setianya seorang isteri kekal bersama suaminya sehingga ke nafas yang terakhir.
Di sini Astro Gempak siarkan kisah viral tersebut untuk tatapan pembaca:
Pada suatu malam ketika pulang ke rumah sewaktu isteri saya sedang menyediakan makan malam, dengan lembut saya memegang tangannya dan berkata “Saya mahu bercerai.”
Kata-kata saya tidak sedikitpun menganggu emosi isteri saya ketika itu, sebaliknya dengan lembut dia bertanya kepada saya “mengapa”. Saya cuba mengelak soalan darinya dan itu telah menyebabkan dia marah dan serentak dengan itu dia melempar penyepit makanan dan menjerit “Awak bukan seorang lelaki!".
Selepas insiden itu, sepanjang malam kami tidak bercakap antara satu sama lain. Dia hanya menangis. Saya tahu dia mahukan penjelasan mengapa semua ini berlaku dalam perkahwinan kami. Saya pula tidak memberikan jawapan yang memuaskan hatinya. Hati saya kini hanya untuk Jane, saya sudah tidak mengasihi isteri saya lagi, saya hanya kasihankan dia!
Dengan rasa bersalah, saya telah merangka satu perjanjian perceraian yang menyatakan bahawa dia boleh menjaga rumah, kereta dan mendapat 30% daripada saham syarikat saya. Dia hanya menjeling dan mengoyakkan perjanjian tersebut. Wanita yang telah menghabiskan sepuluh tahun hidup dengan saya, kini telah menjadi orang asing.
Saya kasihan kepada masa yang telah dia sia-siakan terhadap saya, sumber dan tenaganya...Tetapi saya tidak boleh menarik balik kata-kata saya. Dan...seperti yang saya jangkakan..akhirnya dia menangis dengan kuat di depan saya. Akhirnya dia faham penceraian ini akan menjadi kenyataan.
Hari berikutnya saya tiba di rumah lewat dari kebiasaan dan melihat dia sedang menulis sesuatu di meja. Saya terus naik ke atas untuk tidur tanpa menghiraukan makan malam.
Keesokan paginya, dia telah memberitahu syarat-syarat perceraian yang ditulisnya. Dia tidak mahu apa-apa daripada saya, tetapi meminta untuk kami terus menjalani kehidupan seperti biasa sementara waktu kerana anak-anak kami bakal menghadapi peperiksaan sebulan sahaja lagi dan dia tidak mahu penceraian kami mengganggu pelajaran anak-anak.
Dia juga telah meminta saya untuk ingat kembali kenangan kami bersama pada hari pertama perkahwinan dalam tempoh sebulan. Dia juga telah meminta saya untuk membawanya keluar dari bilik dengan cara mendukungnya setiap hari selama sebulan.
Saya tidak merasakan permintaanya itu gila, tetapi menganggap dia melakukan itu kerana mahu menjadikan hari-hari terakhir kami sebagai suami isteri sebagai kenangan paling indah dalam hidupnya. Saya menerima permintaan aneh tersebut.
Pada mulanya kami berdua agak kekok apabila saya mendukung dia keluar dari bilik tidur pada hari pertama selepas penjanjian dimerterai namun anak kami nampak gembira dan bertepuk tangan sambil berkata "Daddy pegang tangan Mommy". Kata-kata tersebut menjentik hati saya.
Isteri mengajak saya ke ruang tamu dan menutup pintu. Dia menutup matanya dengan lembut dan berkata, “jangan beritahu anak kita mengenai perceraian”. Saya mengangguk faham dan menurunkan dia dari dokongan di muka pintu.
Pada hari kedua, kami tidak kekok lagi seperti hari sebelumnya. Dia bersandar di dada saya, dan saya boleh bau haruman baju yang dipakainya. Ketika itu saya mula sedar bahawa saya belum betul-betul mengenali wanita di hadapan saya ini. Ya, dia tidak semuda dahulu.
Terdapat kedutan halus di wajah dan rambutnya juga telah beruban! Terdetik di hati saya, perkahwinan kami telah meragut masa yang dikorbankannya. Selama satu minit saya tertanya-tanya...apa yang saya telah lakukan kepadanya.
Pada hari yang keempat, ketika saya mendukung isteri saya, tiba-tiba saya dapat merasakan keintiman kami kembali. Dialah wanita yang telah mengorbankan sepuluh tahun hidupnya kepada saya.
Hari kelima dan keenam, saya menyedari kami semakin serasi. Semakin hari semakin mudah untuk saya menjalankan permintaan yang diminta isteri tempoh hari. Tetapi saya tiba-tiba tersedar isteri saya kini semakin kurus.
Pada suatu pagi, saya benar-benar terpukul apabila memikirkan tentang kesakitan yang telah disimpan isteri saya. Betapa selama ini dia menyimpan segala kesakitan yang telah saya lakukan terhadapnya.
Saya menyentuh lembut kepalanya...Anak kami pula tiba-tiba muncul ketika itu dan mengingatkan “Ayah, sudah tiba masanya untuk membawa ibu keluar!" Mungkin baginya, melihat bapanya membawa ibunya keluar telah menjadi rutin yang penting setiap pagi.
Isteri saya memberi isyarat kepada anak kami untuk datang lebih dekat, dan memeluknya erat. Saya memalingkan muka saya kerana takut berubah fikiran. Saya merangkul isteri dalam dukungan saya dan dan tangannya secara semulajadi melingkari leher saya. Saya memegang erat tubuhnya, sama seperti pada hari pertama perkahwinan kami.
Pada hari terakhir, ketika saya mendakap isteri saya, saya merasakan kaki amat berat untuk melangkah. Saya mula terfikir apa kesilapan yang telah saya lakukan. Saya meluru ke tempat Jane, menuju ke tingkat atas dan berkata, "Saya minta maaf, Jane, tetapi saya tidak boleh menceraikan isteri saya,”.
Semuanya sudah jelas kini. Saya yang telah bawa isteri ke rumah kami pada hari perkahwinan dahulu dan pernah berjanji "hanya kematian yang boleh memisahkan kita".
Mengingatkan itu, dalam perjalanan pulang saya telah membeli sejambak bunga untuk isteri saya dan apabila jurujual bertanya apa yang perlu ditulis pada pada kad, saya tersenyum dan berkata, "Saya akan dukung awak keluar dari bilik setiap pagi sehingga kematian memisahkan kita,”.
Apabila tiba di rumah bersama jambangan bunga ditangan dan senyuman di wajah, saya pergi bertemu isteri...Namun, isteri saya telah meninggal dunia dalam tidurnya semasa saya keluar dari rumah! Barulah saya sedar dia selama ini bertarung nyawa melawan kanser, tetapi saya tidak menyedari penderitaan dilaluinya kerana terlalu sibuk dengan Jane.
Dia sudah tahu dia akan mati tidak lama lagi, dan dia tidak mahu anak kami menyimpan persepsi negatif terhadap saya sekiranya bersetuju untuk bercerai pada bulan lalu. Di mata anak kami sekarang, sekurang-kurangnya, saya masih dilihat sebagai suami yang penyayang. Saya mendukung isteri saya keluar dari bilik buat kali terakhir...
Saksikan Cinta Paling Agung yang berinspirasikan kisah viral ini yang akan ditayangkan di Astro First Eksklusif mulai 17 Julai 2015 di saluran 480.