'Cinta Jangan Pergi', hadiah Azzam Sham untuk peminat

Asyraf Roslan
November 1, 2020 22:30 MYT
Cinta Jangan Pergi yang baru sahaja dilancarkan pada 30 Oktober lalu sudah mendapat lebih 50,000 pendengar di laman YouTube. - Instagram/azzam_sham
KUALA LUMPUR: Kemenangan Azzam Sham dalam program Big Stage 2020, sememangnya dijangka dari awal lagi.
Persembahan yang konsisten setiap minggu membuatkan peminatnya yakin bahawa dia mampu memenangi program yang juga melahirkan juara Sarah Suhairi dan Han Byul dari Korea.
Tidak menunggu lama selepas Big Stage, anak jati Kuala Lumpur ini, telah melancarkan lagu terbaharunya yang berjudul Cinta Jangan Pergi untuk peminat-peminatnya sebagai tanda terima kasih.
Menurut Azzam, dia sangat teruja untuk merakamkan lagu ini kerana akhirnya dia dapat bekerjasama dengan komposer Asfan Shah dan juga Fedtri Yahya.
"Secara jujurnya saya dah kenal lama dengan mereka, tapi belum ada rezeki nak bekerjasama untuk sebuah lagu.
"Tapi alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga peluang untuk bekerja dengan dua nama besar ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada masa sama, dia merakamkan buah tangan terbaharunya ini pada saat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan oleh kerajaan.
"Sepatutnya saya rakam lagu ini masa Big Stage, tapi sebab kami nak fokus pada pertandingan kami (syarikat rakaman) tundakan dahulu sesi rakaman tersebut.
"Jadi saya mula rakam lagu ni masa PKPB diumukan hari tu, semuanya agak terbatas sebab sepatutnya abang Asfan yang bimbing saya semasa rakaman tapi sebab tak boleh rentas negeri dan tak boleh ada ramai orang, jadi saya hanya bersama produser semasa sesi rakaman," tambahnya.
Meskipun begitu, dia sangat bersyukur kerana lagu baharunya ini diterima baik oleh peminatnya.
Setakat artikel ini ditulis, lagu yang baru sahaja dilancarkan pada 30 Oktober lalu sudah mendapat lebih 50,000 pendengar di laman YouTube.
#Azzam Sham #Cinta Jangan Pergi #PKPB #Juara Big Stage #Big Stage 2020' #Asfan Shah #Fedtri Yahya
;